Kepelbagaian model TV yang ditawarkan di pasaran telah menjadi satu cabaran dalam membuat pembelian. Sebahagian pengguna yang tidak mahir dengan teknologi pasti menghadapi masalah untuk mengetahui perbezaan antara Smart TV dan Android TV yang sedia ada pada hari ini.

Kedua-dua jenis TV ini kelihatan seperti sama. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan yang pengguna perlu ketahui sebelum membuat pembelian. Berikut merupakan perbezaan yang anda perlu tahu antara Smart TV dan Android TV yang berada dalam pasaran.

Smart TV

android tv smart tv
Sumber Gambar: Samsung

Smart TV merupakan sebuah TV pintar yang menyediakan program tambahan melalui sambungan internet dan disertakan beberapa aplikasi hiburan terkenal seperti Netflix, Youtube atau Spotify oleh pihak pengeluar.

Memandangkan Smart TV hanya didatangkan dengan sistem operasi spesifik mengikut jenama, jadi TV ini mempunyai gedung aplikasi yang berbeza. Terdapat pelbagai pilihan Smart TV yang dikeluarkan oleh syarikat ternama boleh didapati di pasaran seperti LG dengan LG G1 OLED, Sony dengan Sony Bravia X90J dan Samsung dengan Samsung 4K UHD Smart TV.

vocket-tech-smart-tv-2
Sumber Gambar: Bauen und Wohnen online

Menariknya, prestasi Smart TV dilihat lebih bagus di dalam kegunaan harian. Antara muka yang intuitif menambahkan lagi pengalaman mengakses fungsi dan konten dengan mudah. Namun demikian, majoriti Smart TV didapati jarang mendapat kemas kini sistem operasi yang menyebabkannya tidak dapat menyokong sesetengah aplikasi atau servis yang baharu di pasaran.

Jangka hayat Smart TV dilihat lebih pendek berikutan kebergantungan dengan sistem operasi dan teknologi yang sedia terbina. Harga penawaran juga jauh lebih mahal berbanding Android TV.

Pro

  • Antara muka yang intuitif.
  • Semua fungsi telah terbina di dalam TV.
  • Penggunaan harian yang lancar.

Cons

  • Jumlah aplikasi yang terhad.
  • Jarang mendapat kemaskini sistem operasi.

Android TV

android tv smart tv
Sumber Gambar: The Brick

Android TV boleh dikira sebagai Smart TV dengan menjalankan sistem operasi Android yang menyokong akses ke platform Google. Android TV juga lebih terbuka dengan penawaran pelbagai aplikasi atau servis serta sokongan fail pihak ketiga yang boleh dipasang mengikut kesesuaian TV.

Tambahan pula, kemas kini sistem operasi dan aplikasi yang berterusan oleh pihak pembangun menjadikan Android TV akan lebih relevan pada jangka masa panjang. Pengguna berpeluang mengawal konten dengan lancar melalui telefon pintar disebabkan oleh ekosistem yang sama.

Sumber Gambar: Android Developer

Terdapat sokongan pembantu digital iaitu Google Assistant yang tersedia membolehkan navigasi dibuat melalui arahan suara sahaja. Harga yang ditawarkan pula lebih murah tetapi pilihan yang terhad memandangkan tidak banyak pengeluar yang menghasilkannya.

Fungsi Chromecast yang tersedia dapat memudahkan pengguna memasang konten melalui telefon pintar terus ke kaca TV. Masalah yang bakal timbul pada Android TV apabila jumlah aplikasi yang bertambah akan menyebabkan TV menjadi tidak lancar seperti sedia kala.

Pro

  • Pelbagai konten yang boleh didapati.
  • Kemas kini sistem operasi dan aplikasi yang berterusan.
  • Boleh dihubungkan dengan platform Google.

Cons

  • Antara muka yang kompleks.
  • Penawaran TV yang terhad.

Walaupun kedua-dua jenis TV ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri, Android TV dilihat lebih fleksibel berbanding Smart TV. Hal ini disebabkan oleh penawaran akses pelbagai aplikasi dan servis menjadikan sebuah platform tontonan yang lebih menarik.

Tambahan pula, penawaran harga jualan Android TV yang lebih murah berbanding Smart TV. Sokongan kemas kini perisian Android dari semasa ke semasa memberikan nilai yang berbaloi untuk jangka masa panjang.

Tetapi masih terdapat segelintir pengguna yang mungkin tidak gemar dengan antara muka Android TV yang kompleks terutamanya bagi mereka yang masih baru dan tidak biasa dengan eko sistemnya.

Kesimpulannya, pemilihan TV perlu dibuat mengikut kesesuaian dan keperluan individu. Kami mengesyorkan pengguna sebaiknya menyenaraikan ciri atau keperluan mengikut citarasa tersendiri dan membandingkan produk terlebih dahulu sebelum pembelian.

Selain itu, anda boleh mengetahui perbezaan platform penstriman antara Netflix, HBO GO dan Disney+ Hostar.

Kelebihan, Kekurangan Dan Perbezaan Antara Netflix, HBO Go Dan Disney+ Hotstar

Platform Netflix Bakal Tawarkan Servis ‘Game’ Dalam Langganan Seawal Tahun Hadapan

Sumber