Baru sahaja berlangsungnya pengenalan generasi baharu siri Galaxy S22 yang dinantikan ramai menerusi acara Galaxy Unpacked. Pada kali ini, sebanyak tiga buah model yang dibawakan dengan spesifikasi dan juga kamera yang lebih berkuasa tinggi iaitu Galaxy S22+, Galaxy S22 dan Galaxy S22 Ultra.

Menariknya, kesemua model yang ditawarkan pada kali ini buat pasaran tempatan menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 terbaru. Mari kita lihat lebih terperinci akan spesifikasi dan harga penawaran bagi setiap model di Malaysia.

1. Samsung Galaxy S22

Sumber Gambar: GSMarena

Bermula dengan model Samsung Galaxy S22 yang hadir dengan skrin bersaiz 6.1-inci Dynamic AMOLED 2X dengan sokongan refresh rate 120Hz. Memori sebesar 8GB RAM serta dipadankan storan dalaman sehingga 256GB. Kapasiti baterinya pula dilihat lebih kecil iaitu sekitar 3,700 mAh sahaja dengan sokongan pengecasan pantas 25W.

Dari segi fotografi, kamera utama sebesar 50MP, 12MP sudut lebar, 10MP telefoto dan juga kamera hadapan 10MP. Malah, teknologi kamera yang dipertingkatkan mampu mengambil gambar mod malam dengan lebih baik termasuklah swafoto.

Sumber Gambar: GSMarena

Buat pertama kalinya, ciri Auto Framing juga disertakan di mana boleh memastikan setiap pergerakan boleh dijejak secara automatik serta kesemua individu di dalam kumpulan anda boleh dirakam dalam satu bingkai. Model ini juga menyokong rangkaian 5G Sub 6Ghz yang boleh memastikan akses internet yang lebih pantas.

2. Samsung Galaxy S22+

Sumber Gambar: GSMarena

Sementara model Galaxy S22+ hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu 6.6-inci Dynamic Amoled FHD+ serta sokongan refresh rate 120Hz. Spesifikasi yang ditawarkan juga sama seperti model di atas iaitu memori 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB sahaja. Barisan model kali ini juga dilengkapi kemampuan kalis air IP68.

Selain itu, kedua-dua model ini turut berkongsi sistem kamera yang sama dengan S22 iaitu 50MP, 12 MP sudut lebar, 10MP telefoto serta swafoto 10MP. Manakala, kapasiti bateri yang lebih besar ditawarkan iaitu 4,500 mAh malah dengan sokongan pengecasan yang lebih pantas 45W.

Sumber Gambar: Slashgear

Dari segi rekaan, masih tiada perubahan drastik yang dibuat seperti generasi terdahulu tetapi  hadir dengan panel belakang polikarbonat digantikan dengan panel Gorilla Glass Victus. Barisan Galaxy kali ini juga membawakan ciri pengimbas cap jari ultrasonik.

3. Samsung Galaxy S22 Ultra

Sumber Gambar: GSMarena

Selain Galaxy S22 dan Galaxy S22+, Galaxy S22 Ultra turut dilancarkan sebagai model paling premium untuk Samsung pada tahun ini. Peranti ini meneruskan legasi Galaxy Note kerana hadir dengan sokongan stylus S Pen secara terbina dalam tumbuh peranti dan mempunyai rekaan tubuh yang berkotak seperti Galaxy Note sebelum ini.

Sebagai model yang paling berkuasa, ia dilengkapi dengan skrin 6.8-inci Dynamic AMOLED 2X QHD+ bersama teknologi Vision Booster yang diperkenalkan bagi menawarkan kualiti visual yang lebih baik serta keterangan maksimum 1,750 nits. Malah, hadir dengan sokongan refresh rate adaptive 120Hz berserta input sentuh sehingga 240Hz.

Sumber Gambar: The Verge

Sistem kuad kamera utama pula menggunakan sensor 108MP sudut lebar, 12MP sudut ultra lebar, 10MP telefoto dan 10MP untuk telefoto 10x optikal dengan zum lebih jauh. Kamera swafoto pula sebesar 40MP. Seperti barisan model lain, ciri Auto Framing juga ditawarkan pada Galaxy S22 Ultra.

Spesifikasi dalaman iaitu memori sehingga 12GB RAM yang turut hadir dengan storan dalaman sehingga 512GB tanpa sokongan mikro SD lagi. Bateri yang diberikan sebesar 5,000 mAh bersama dengan sitem pengecasan berwayar pantas 45W dan hadir sokongan berbalik Wireless PowerShare 15W.

Sumber Gambar: Samsung

Dalam pada itu, terdapat penambah baikan pada S Pen di mana kadar latensi semakin berkurang sehingga 2.8ms sekaligus memberikan pengalaman lakaran digital pada skrin Galaxy S22 Ultra seperti lakaran sebenar menggunakan kertas dan pen. S Pen turut hadir dengan tambahan bluetooth yang membolehkan ia digunakan sebagai alat kawalan jauh.

Kesemua barisan siri peranti kali ini menggunakan One UI 4.1 yang berasaskan Android 12. Samsung menjanjikan sokongan versi Android sehingga empat versi dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun. Model ini juga turut menyokong rangkaian 5G, WiFi 6E dan Bluetooth 5.2.

Harga

Di Malaysia, model Samsung Galaxy S22 dijual pada harga bermula RM3,499 untuk 8/128GB, diikuti pula spesifikasi lain yang berharga RM3,699 untuk 8/256 GB. Untuk model Samsung Galaxy S22+ pula, ia bakal ditawarkan pada harga RM4,099 untuk 8/128GB dan lanjut dengan harga seterusnya iaitu RM4,299 untuk 8/256GB.

Sementara untuk model yang paling berkuasa iaitu Galaxy S22 Ultra sedia ditawarkan bermula harga sekitar RM5,099 untuk 8/128GB. Untuk spesifikasi yang lebih tinggi pula, penawaran harga mencecah RM5,499 untuk 12/256GB dan akhir sekali dengan storan dalaman yang lebih besar sedia dijual pada harga RM5,899 untuk 12/512GB.

Anda sudah boleh membuat pra-tempahan di laman rasmi Samsung Malaysia bermula hari ini dengan pelbagai ganjaran eksklusif yang sedang menanti anda. Ini termasuklah e-baucar bernilai RM800, kes silikon dan sebagainya. Menariknya, anda juga boleh trade-in peranti Samsung yang digunakan untuk mendapatkan diskaun RM200 serta-merta.

Anda boleh meneruskan bacaan artikel-artikel terbaru yang kami terbitkan untuk mengetahui isu semasa teknologi di dunia hari ini.

Mahu Tawarkan Audio Terbaik, Sony Perkenalkan Model Walkman Terbaru Dengan Harga Mencecah RM14,999

Kakitangan Motorola Malaysia Didakwa Diupah Oleh Syarikat China Bagi ‘Mencuri’ Teknologi Walkie-Talkie

Remaja Ini Tolak Tawaran Kereta Tesla Sebagai Balasan Untuk Padam Akaun ‘Stalk’ Jet Peribadi Elon Musk

Sumber