Menjadi satu mimpi ngeri buat kita semua untuk melihat sejumlah wang besar hasil titik peluh hilang begitu sahaja dari akaun bank tanpa disedari. Isu ini masih berlaku sehingga ke hari ini dan menyukarkan pengguna membuat sebarang simpanan jumlah yang besar.

Terbaharu, Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah telah berkongsikan berkenaan kerugian RM13,000 daripada tiga transaksi tidak sah yang dibuat pada akaun simpanannya. Menerusi hantaran Facebook, beliau meluahkan kekecewaan terhadap tahap sekuriti yang disediakan oleh CIMB.

Perkara ini sangat mengejutkan kerana sebanyak tiga transaksi yang dibuat menerusi CIMB Clicks berjumlah RM13,000 pada 2.00 pagi hingga 2.30 pagi di akuan simpanannya tidak diberi sebarang amaran termasuklah nombor TAC. Malah, wang simpanan tersebut hilang sebegitu sahaja.

Beliau sudah pun membuat laporan polis dan menerima maklum balas daripada pihak CIMB yang mengatakan individu yang mengodam sudah mengeluarkan wang dan wang itu tidak boleh dikembalikan.

Menerusi hantaran terbaru, beliau telah menegaskan bahawa tidak pernah memuat naik aplikasi yang mencurigakan malah telah memadam kesemua aplikasi dan menetap semula peranti selepas kejadian tersebut.

Dr Rafidah juga baru sahaja dihubungi pihak bank terbabit dan dimaklumkan kejadian itu berpunca daripada satu pautan yang diakses daripada telefon miliknya beberapa hari yang lepas. Pautan ini membolehkan penambahan lagi satu peranti iaitu iPhone 6 suspek untuk mendaftar pada akaun miliknya.

Perkara ini bagaimanapun menjadi persoalan kerana selama 30 tahun menggunakan CIMB, tidak pernah sekalipun beliau mencuba mendaftar peranti baharu. Bukan sahaja boleh menambah peranti semudah itu, malahan mampu membuat transaksi tanpa perlu TAC.

Jadi, beliau mengesa pihak bank agar meningkatkan ciri keselamatan demi menjamin keselamatan pengguna sekaligus boleh mengelakkan insiden ini berulang lagi.

Pada hantaran utama, beliau mengucapkan selamat tinggal pada CIMB dan mahu menutup akaun dalam waktu terdekat dalam masa yang sama meminta orang ramai turut berhati-hati.

Sebelum ini, SKMM juga meminta orang ramai untuk berwaspada terhadap mesej scam yang dihanta berkaitan bantuan kewangan.

SKMM Minta Berwaspada Dengan Mesej Scam Yang Dihantar Berkaitan Bantuan Kewangan

Mampu Peroleh Sehingga RM100,000 Sebulan, Rakaman Perbualan ‘Scammer’ Ini Raih Perhatian Netizen

Sumber