Emas merupakan hasil bumi yang sangat diburu ramai oleh kerana nilainya yang tinggi serta boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Emas bukan sahaja boleh dijadikan barangan perhiasan sahaja, yang paling utama pada masa kini adalah dijadikan sebagai komponen di dalam peranti.

Menerusi laporan terbaharu, akhbar tempatan dari Brazil mendedahkan sebanyak empat syarikat gergasi iaitu Apple, Google, Microsoft dan Amazon telah membeli emas daripada pelombong haram di Brazil. Lombong-lombong haram ini juga dibuka di tanah simpan orang asli di hutan Amazon dan sehingga kini masih tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Sumber Gambar: Financial Times

Emas yang dibeli oleh syarikat teknologi ini selalunya akan digunakan untuk pembuatan komponen telefon pintar dan komputer untuk Apple dan Microsoft ataupun digunakan oleh mesin pelayan dari Amazon dan Google.

Dokumen mengesahkan bahawa syarikat-syarikat terbabit membeli emas daripada kilang Chimet di Itali dan Marsam Metals di Brazil di antara tahun 2020 dan 2021. Kedua-dua kilang ini masih berada dalam siasatan pihak polis Brazil kerana perlombongan bahan mentah secara haram sehingga menyebabkan isu pencemaran alam sekitar.

Sumber Gambar: Minings.com

Kesemua syarikat-syarikat gergasi ini telah dihubungi oleh wartawan dari Brazil dan hanya Apple sahaja yang memberi maklum balas setakat ini. Apple mengatakan bahawa mereka tidak lagi membeli bahan emas dari Marsam Metals tetapi tidak mengulas apa-apa berkaitan Chimet.

Sementara syarikat teknologi lain masih belum memberikan sebarang kenyataan dakwaan yang dibuat oleh akhbar tempatan dari Brazil. Emes dilihat sebagai satu elemen penting di dalam pembuatan peralatan elektronik di peringkat global dan menjadi rebutan oleh sejumlah syarikat gergasi di luar sana.

Sementara itu, Samsung dilaporkan meningkat harga cip sebanyak 20% akibat daripada isu kekurangan cip di peringkat global .

Ekoran Isu Kekurangan Cip Global, Kini Samsung Bakal Meningkatkan Harga Cip Sebanyak 20%

Masalah Bekalan Cip Bakal Beri Kesan Kepada Harga Gadget Pada Tahun 2022