CEO Apple, Tim Cook baru-baru ini telah melawat ibu pejabat baharu syarikat itu di London yang terletak di Battersea Power Station. Menariknya, lokasi ini telah dibangunkan semula oleh dua buah syarikat Malaysia iaitu SP Setia dan Sime Darby.

Sebelum diubah menjadi kawasan komersial, pejabat dan perumahan, Battersea Power Station merupakan stesen yang membekalkan kuasa elektrik arang batu dari tahun 1955 hingga 1983. Kerana rekaan stesen yang unik, ia diberikan status bangunan bersejarah Gred II oleh kerajaan United Kingdom.

Sumber Gambar: Twitter

Menerusi ciapan terbaru Tim Cook, beliau tidak sabar mahu membuka pejabat baharu di lokasi ikonik Battersea Power Station menjelang awal tahun hadapan 2023. Malah, ini juga satu penghormatan kepada bandar yang luar biasa ini dan mencerminkan komitmen mereka terhadap masa depan Apple di UK.

Kerja pembangunan semula dan memodenisasi di lokasi tersebut bakal bermula pada bulan depan iaitu 14 Oktober 2022. Stesen Battersea ini  merupakan salah satu bangunan bata terbesar di dunia dan tidak digunakan selama lebih 30 tahun selepas ia ditamatkan operasi pada tahun 1975.

Sumber Gambar: Battersea power station

Pembangunan semula ini bakal meliputi kawasan seluas 42 ekar yang merangkumi perumahan, kedai, bar, restoran, kafe, pejabat dan lebih daripada 19 ekar kawasan awam. Sementara di Malaysia pula, kita juga sedang menantikan kehadiran Apple Store yang dijangka akan dibuka di Menara TRX.