Peranti Apple sehingga ke hari ini terbukti mempunyai sistem sekuriti yang baik lebih-lebih lagi dengan adanya ciri penjejakan secara langsung menerusi aplikasi Find My. Malah, siapa sangka dengan ciri serba guna sewaktu kecemasan boleh pula dijadikan sebagai alat pengesan lokasi sebenar pergerakan askar musuh.

Kisah unik dan menarik ini telah dikongsikan oleh seorang lelaki Ukraine bernama Vitaliy Semenets yang mana beliau berjaya menjejaki pergerakan tentera Rusia dengan menggunakan ciri penjejakan peranti Apple untuk mendapatkan lokasi sebenar AirPods beliau yang hilang dicuri.

Sumber Gambar: Phonearena

Difahamkan AirPods itu telah dicuri dari rumahnya yang terletak di Hostomel iaitu 17 batu dari Kyiv sewaktu permulaan pencerobohan Rusia di negara tersebut. Selepas itu, beliau bertindak untuk menggunakan ciri Find My yang tersedia pada produk Apple bagi mengikuti perkembangan lokasi AirPods yang dicuri dan sekaligus mengesan laluan tentera Rusia.

Lokasi sebenar yang dijejaki menunjukkan tentera Rusia telah pun melintasi sempadan ke Belarus dan tiba di Belgorod iaitu sebuah bandar di Rusia di mana Presiden Putin sedang mengumpulkan tenteranya untuk serangan seterusnya di Donbas.

Malah, beliau turut memuat naik perkongsian mengenainya di akaun Instagram dengan nada menyindir bahawa dengan teknologi ini berjaya mengesan lokasi sebenar AirPods yang dicuri yang mana ketika ini sudah pun berada di Rusia.

Difahamkan terdapat sejumlah kes kecurian barangan berharga yang dilaporkan sewaktu berlakunya pencerobohan tersebut. Malah, terdapat sebahagian askar Rusia sudah mempunyai senarai lengkap barangan sasaran yang ingin dicuri sewaktu operasi. Daripada insiden ini, nampaknya pihak Apple berjaya mendapatkan ‘marketing’ secara unik akan produknya.

Sebelum ini juga, seorang lelaki berjaya menemui semula skuternya hilang selama seminggu dengan bantuan alat penjejak AirTag.

Lelaki Ini Berjaya Temui Semula Skuternya Yang Hilang Dengan Bantuan Apple AirTag

Lihat Bagaimana Lelaki Ini Jadikan AirTag Pengesan Untuk Kucingnya Yang Kuat Merayap