Kegiatan penipuan kini sudah semakin berleluasa yang mana menyasarkan mangsanya tanpa mengira latar belakang. Para pelajar IPT juga merupakan salah satu sasaran mudah kerana rata-ratanya mahu meraih wang sampingan untuk menampung keperluan mereka.

Terbaharu, seorang pengguna di Facebook iaitu Mohd Fadli Salleh berkongsi sebuah senario di mana ramai pelajar ditipu ekoran tawaran kerja separuh masa. Modus operandi adalah scammer akan menyertai mana-mana kumpulan WhatsApp yang ahli majoritinya ialah pelajar IPT seperti kumpulan usrah dan memperkenalkan diri sebagai senior.

Scammer juga akan berkongsi pelbagai cerita tentang kerja separuh masa dan tugasan dalam talian untuk menarik perhatian menerusi pesanan ringkas. Pelajar yang menghubungi scammer secara peribadi akan diberikan gambar testimoni kononnya suspek pernah mendapat untung besar daripada perniagaan tersebut.

Tidak cukup dengan gambar, mangsa turut dihubungi oleh scammer lain yang berkongsi tugasan dengan lebih terperinci. Apa yang perlu mangsa lakukan hanyalah membeli barang dan memberikan rating tinggi pada penjual di platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Zalora untuk menaikkan rating kedai itu.

Sumber Gambar: Makeusof

Malah, mangsa telah dijanjikan dengan keuntungan 10% bersama 10% komisen. Dalam kes yang dikongsikan, mangsa pada pertama kali memindahkan wang sebanyak RM76 dan dalam masa 15 minit berjaya menerima RM 86 iaitu keuntungan sekitar RM10. Lantas, mangsa pun meneruskan transaksi seterusnya yang berjumlah RM745 tanpa berfikir panjang.

Bagaimanapun, mangsa tidak menerima wang seperti sebelum ini dan diminta untuk memasukan RM1,800 sekali lagi atas alasan mengalami isu dengan rakan kongsi. Tidak cukup dengan itu, scammer meminta sekali lagi dengan jumlah sebesar RM4,000 dan mangsa hanya memberikan RM3,500 sahaja namun baru tersedar ia hanyalah penipuan semata-mata.

Scammer ini menggunakan nama ‘This is Bridzia Platform Freelance Staff’ atau ‘Bridzia Customer Services’ dan nombor yang digunakan masih boleh dihubungi walaupun sudah menerima banyak laporan polis. Menerusi carian Google, memang terdapat syarikat bernama Bridzia yang berkemungkinan digunakan untuk membuat identiti samaran sahaja.

Oleh itu, tidak kiralah pelajar atau sesiapa pun diminta untuk berhati-hati dengan tawaran peluang pekerjaan atau pelaburan yang ditawarkan di dalam internet. Majoriti tawaran tersebut hanyalah indah khabar dari rupa semata-mata. Anda juga perlu menyemak latar belakang identiti tertentu untuk mengetahui kebenaran sesuatu tawaran tersebut.

Tular baru-baru ini pihak Maybank meminta orang ramai berwaspada dengan hadiran malware pada aplikasi Android yang boleh mencuri TAC pengguna.

Mampu Membaca Dan Menerima TAC Pengguna, Maybank Beri Amaran Kehadiran Malware Pada Android

MDEC Nafi Tawarkan Peluang Pekerjaan Menerusi SMS

Sumber