Salah satu ciri yang sudah menjadi trend pada hari ini adalah ciri penjualan NFT menerusi sesebuah platform atau aplikasi. Instagram juga dilaporkan bakal menawarkan ciri ini secepat mungkin sebaik mereka selesai dengan perkara berkaitan dalam menjayakan ciri tersebut.

Selain Instagram, Spotify juga dilihat bakal menawarkan ciri baharu yang membolehkan artis mempamerkan NFT pada halaman Spotify mereka dan juga menjual NFT sendiri dalam aplikasi tersebut. Perkara ini telah disahkan oleh Music Ally yang mana pihak Spotify sedang menguji ciri baharu tersebut.

Sumber Gambar: The Verge

Difahamkan ciri baharu ini bakal ditawarkan kepada bilangan kecil pengguna di Amerika Syarikat. Mereka yang terpilih boleh mengakses halaman baharu yang akan membawa pengguna ke pasaran NFT OpenSea sekaligus boleh membeli menerusinya. Setakat ini, pihak Spotify tidak mengambil sebarang potongan jualan NFT yang dijual artis.

Antara artis yang sudah menggunakan ciri baharu ini termasuklah Steve Aoki dan The Wombats di mana mereka telah mempamerkan karya NFT pada halaman profilnya. Ciri ini juga diperkenalkan untuk membantu sekumpulan kecil artis mempromosikan tawaran NFT yang sedia ada di laman dagangan NFT menerusi profil artis mereka sahaja.

Pihak Spotify dilihat sudah menjalankan beberapa ujian dalam usaha meningkatkan pengalaman menarik antara artis bersama peminatnya di platform tersebut. Dengan inisiatif ini, Spotify dilihat mengikuti jejak langkah aplikasi seperti Instagram dan Twitter yang mahu mengadaptasi ciri NFT dalam menarik pengguna baharu.

Sementara itu, Netflix dilaporkan sedang meneroka kandungan berbentuk siaran langsung agar lebih ramai pengguna baharu melanggannya.

Netflix Dilaporkan Sedang Meneroka Kandungan Berbentuk Siaran Langsung

Apple Dilaporkan Sedang Menguji iPhone Dengan Sambungan USB-C Untuk Pasaran Eropah