Perkhidmatan strim muzik sudah menjadi satu cara popular dan paling mudah untuk pengguna mengakses lagu kegemaran atau terbaru. Terdapat sejumlah pilihan yang sedia ditawarkan di dalam pasaran dalam masa yang sama pasti ramai pengguna ingin mengetahui perbezaan platform penstriman muzik ini.

Di Malaysia sendiri, kita mempunyai tiga plaform penstriman muzik utama yang digunakan ramai iaitu Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Untuk membantu anda membuat pilihan, kami akan memperlihatkan perbezaan platform penstriman muzik yang popular di Malaysia.

1. Spotify

perbezaan platform penstriman muzik
Sumber Gambar: Audiohype

Di dalam arena platform penstriman muzik, Spotify sudah menjadi pilihan utama oleh pengguna kerana penawaran gedung yang kaya dengan pilihan muzik dan juga lebih mesra pengguna. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengakses aplikasi Spotify pada semua peranti yang digunakan dengan mudah.

Salah satu kelebihan Spotify ialah tumpuannya pada penemuan dan penyusunan senarai main sekaligus membolehkan anda menapis lagu dan menyimpan ikut mood dan genre tersendiri. Perkhidmatan ini juga mempunyai siri podcast, kandungan video serta menstrim muzik dengan kualiti terbaik.

Anda boleh menggunakan secara percuma atau melanggan pelan premium berharga RM14.90 sebulan. Untuk versi percuma, anda boleh mengakses keseluruhan perpustakaan muzik perkhidmatan berkenaan namun mempunyai bilangan langkauan lagu yang terhad serta hadir dengan iklan. Versi premium pula lebih banyak kelebihan tersedia yang memang bersesuaian buat pencinta muzik.

2. Apple Music

Sumber Gambar: Soda

Apple Music pula dilihat sebagai alternatif terbaik buat pengguna produk Apple kerana kesepaduan bersama ekosistemnya. Selain itu, ia berfungsi dengan perpustakaan iTunes sedia anda. Apple Music juga mempunyai sejumlah pilihan kandungan dengan lebih 90 juta lagu tersedia untuk distrim secara on demand.

Perkhidmatan ini turut menawarkan stesen radio Apple Music 1 dan beberapa lagu eksklusif. Menariknya, Apple telah menyediakan pilihan kualiti audio lossless dan spatial (Dolby Atmos) kepada pengguna secara percuma. Dengan ini, pengguna boleh mendengar muzik versi kualiti CD pada keseluruhan katalog Apple dan juga mendengar muzik secara imersif untuk sebahagian lagu.

Berbeza dengan Spotify, Apple Music sama sekali tidak menawarkan versi percuma dengan iklan. Pengguna hanya boleh mengakses perkhidmatan mereka dengan melanggan secara bulanan pada harga RM14.90 atau harga pelajar sekitar RM8.90 sahaja.

3. YouTube Music

Sumber Gambar: BBC

Pilihan seterusnya iaitu YouTube Music dilihat lebih sesuai buat pengguna ekosistem produk Google. Bukan sahaja kaya dengan pilihan muzik untuk pelbagai genre, malah anda juga boleh menggunakan ciri Google Assistant untuk memainkan sesebuah lagu dengan arahan suara sahaja.

Platform ini juga mempunyai kandungan video eksklusif yang boleh ditonton menerusinya dan juga keupayaan untuk mencari lagu berdasarkan lirik. Malah, pengguna bagi mana-mana pelan premium Youtube Music boleh mendengar muzik mereka disimpan secara offline dengan skrin yang dimatikan.

Kelebihan utama sudah semestinya anda berpeluang menikmati tontonan video di Youtube tanpa iklan bersama-sama di bawah pelan Youtube Premium. Untuk anda yang berminat, kini harga langganan bulanan adalah RM14.90 sahaja.

Ketiga-tiga platform penstriman muzik ini mempunyai kelebihan tersendiri yang menjadi tarikan pengguna di luar sana. Spotify bagaimanapun masih kekal mendominasi platform pilihan di dalam carta global sehingga ke hari ini. Diharapkan dengan penerangan di atas dapat memberi pencerahan berkaitan platform penstriman muzik utama di Malaysia.

Dalam pada itu, anda juga boleh mengetahui kelebihan dan kekurangan platform penstriman antara Netflix, HBO GO dan Disney+ Hotstar.

Kelebihan, Kekurangan Dan Perbezaan Antara Netflix, HBO Go Dan Disney+ Hotstar

Perbezaan Antara Laptop Jenis Notebook, Ultrabook, MacBook, Chromebook Dan 2-in-1