Menjadi satu cabaran buat pembangun permainan free-to-play yang mana rata-ratanya perlu menjana wang untuk menawarkan konten menarik dan menyelia server permainan dari semasa ke semasa. Malah, mereka perlu bersaing dengan nama-nama tersohor di dalam pasaran yang mempunyai jumlah peminat yang lebih ramai.
Menerusi laporan Insider, Sony dilaporkan sedang membangunkan iklan untuk game percuma di platform PlayStation. Inisiatif ini dibuat bertujuan untuk memberi peluang kepada pembangun permainan menjana pendapatan melalui hasil kerja mereka. Secara tidak langsung, ini dapat menggalakkan mereka untuk menghasilkan lagi permainan percuma.
Ciri iklan dalam permainan dijangkakan bakal dilancar pada hujung tahun 2022 ini. Pihak Sony juga mengatakan bahawa iklan-iklan ini akan muncul di kawasan yang tidak terganggu dalam permainan.
Mereka juga akan memastikan iklan yang dipaparkan kelihatan seperti sebahagian elemen daripada permainan seperti papan iklan digital di stadium sukan dan seumpamanya. Menariknya, pemain akan mendapat ganjaran seperti kosmetik maya sekiranya menonton iklan tersebut.
Setakat ini, Sony masih tidak memutuskan lagi untuk mengambil sebarang bahagian daripada hasil iklan itu. Bagaimanapun, Sony sedia pertimbangkan untuk mengenakan bayaran bagi data pengguna kepada pembangun permainan dan penerbit.
Pendekatan Sony ini dibuat selepas Microsoft dilaporkan merancang untuk melaksanakan perkara sama dalam permainan Xbox yang percuma. Pengiklan juga mungkin perlu diberi keyakinan untuk menyertai program ini memandangkan sebahagian permainan mungkin mempunyai unsur lucah atau ekstrem.
Ikuti juga berita berkaitan syarikat LEGO bersama Epic Games bakal membangunkan metaverse yang mesra keluarga.
LEGO Bersama Epic Games Sedia Bangunkan Metaverse Yang Mesra Keluarga
Hyundai Muncul Sebagai Pembuat Kereta Pertama Yang Menawarkan NFT Berasaskan Komuniti