Sony sudah memperkenalkan telefon pintar mercu terbaharu mereka yang dikenali sebagai Xperia Pro-I dengan pelbagai penaik tarafan yang ditawarkan bersamanya pada kali ini. Kini peranti ini sedia ditawarkan buat pasaran Malaysia yang boleh dipra-tempah mulai hari ini menerusi laman rasmi Sony.

Bercakap mengenai Sony Xperia Pro-I, ia merupakan peranti yang direka khas untuk membawa pengalaman sinematografi dan fotografi ke tahap yang baharu dengan menjadi telefon pertama di dunia menggunakan sensor kamera bersaiz 1-inci yang boleh ditemui pada kamera RX100 VII.

Sumber Gambar: Pocketlint

Pada bahagian kamera telah dibekalkan dengan sensor utama sebesar 1-inci yang boleh menghasilkan gambar yang beresolusi 12MP dengan kombinasi kamera telefoto 12MP (50mm) dan ultra-lebar pula sebesar 12MP (16mm) dan bersama-sama kamera 3D iTOF untuk menentukan kedalaman medan.

Sumber Gambar: Gaming Deputy

Spesifikasi lain yang tersedia pada model ini juga tidak kurang hebatnya di mana Sony Xperia Pro-I dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 888 dengan memori sebesar 12GB RAM dan juga storan dalaman 256GB. Storannya turut boleh ditambah menerusi slot hibrid yang disediakan. Model ini hadir dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 4,500mAh beserta pengecasan pantas 30W bersamanya.

Sumber Gambar: Sony Malaysia

Buat pasaran tempatan, telefon pintar ini sedia ditawarkan pada tanda harga RM7,199. Sony juga turut menawarkan beberapa pakej bersama pembelian model ini dengan harga bermula daripada RM7,718. Para peminat Sony serta mereka yang mereka yang minat dalam bidang fotografi berpeluang mendapatkan model ini menerusi pra-tempahan yang sudah dibuka sehingga 15 Disember 2021 kelak.

Sebelum ini juga, Sony pernah memperkenalkan sebuah peranti yang cukup hebat dikenali sebagai Xperia Pro dengan berharga RM10,107.

Setanding Dua iPhone 12 Pro, Sony Perkenalkan Xperia Pro Dengan Harga RM10,107

Sony Xperia 1 III Bakal Ditawarkan Pada Harga RM5,799 Di Malaysia

Sumber