Binance sebelum ini sudah pun memasuki pasaran Malaysia namun perlu menamatkan perkhidmatan selepas dikesan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Hal ini sekaligus memberi kesan kepada sebahagian pelabur kripto tempatan yang lebih selesa membuat dagangan di platform Binance berbanding yang lain.

Namun perkara ini dilihat bakal berubah selepas ini apabila Binance telah menyuntik sejumlah dana pelaburan kepada sebuah syarikat fintech tempatan iaitu MX Global. Nilai pelaburan pula masih tidak dikongsikan secara terperinci setakat ini.

Untuk makluman, MX Global merupakan salah satu bursa aset digital yang membolehkan para pengguna tempatan membeli pelbagai jenis kriptowang seperti Bitcoin dan Ethereum. Malah selain Binance, syarikat ini juga dikatakan menerima pelaburan daripada firma Malaysia, Cuscapi Berhad dalam bentuk saham keutamaan boleh tukar dan tebus.

Sehubungan itu, Binance mengatakan mereka melihat potensi di Malaysia termasuk komuniti blockchain dan kripto yang inovatif. Dengan kerjasama dengan MX Global Binance sudah menyasarkan untuk melihat pelbagai peluang baharu di Malaysia dan rantau ini juga.

Walaupun ia masih menghadapi cabaran dalam mengekalkan pematuhan kawalan selia di rantau ini, perkongsian baru-baru ini sedikit sebanyak telah memberi ruang Binance untuk meneroka pasaran Malaysia semula. Bahkan, komuniti blockchain dan kripto tempatan dilihat akan terus berkembang pesat selepas ini.

Selain itu, ketahui enam individu yang menyimpan jumlah Bitcoin terbanyak di dunia setakat ini dengan klik pautan di bawah.

6 Individu Yang Menyimpan Bitcoin Terbanyak Dunia Pada Ketika Ini

Bermula Sebagai Pekerja McDonald’s, CZ Berjaya Muncul Sebagai Manusia Terkaya Asia 2022