Kegiatan melombong Bitcoin sememangnya menguntungkan bagi sesetengah mereka yang arif kerana ia boleh menjana pendapatan pasif pada setiap masa. Namun begitu, penggunaan elektrik yang tinggi juga diperlukan bagi menjana tenaga pada sejumlah peralatan komputer yang berkuasa tinggi untuk berkerja.

Menerusi perkongsian oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menyatakan bahawa aktiviti kecurian elektrik untuk melombong Bitcoin sudah meningkat sebanyak 400% dalam tempoh empat tahun sahaja. Akibatnya, dianggarkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM2.3 bilion ekoran kegiatan tersebut.

Sumber Gambar: Malay Mail

Di samping itu, sekitar 7,209 kes yang berjaya dikesan secara keseluruhan sepanjang tahun 2018 sehinggalah tahun 2021. Perkara yang merisaukan oleh pihak kerajaan adalah peningkatan kes berkenaan bakal memberi kesan kepada kestabilan bekalan tenaga dan juga keselamatan awam.

Bahkan penggunaan mesin melombong kriptowang yang perlu dihidupkan pada setiap hari tanpa henti boleh menjurus kepada masalah litar pintas dan beban tenaga berlebihan. Malahan, ada sesetengah individu sedia mengubah suai meter TNB yang menyebabkan bacaan meter sebenar tidak direkodkan lagi.

Sumber Gambar: Harian Metro

Lanjutan daripada itu, perkara ini menjadi punca ketidakstabilan bekalan tenaga elektrik yang memberi kesan kepada aktivit ekonomi serta orang awam.

Kerajaan turut menegaskan sekiranya individu yang didapati bersalah mengubah suai peralatan TNB boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Perkara yang sama juga berlaku di negara Russia yang mana sekaligus bakal mengharamkan perlombongan kriptowang di negara tersebut kelak.

Bank Pusat Russia Bercadang Untuk Haramkan Perlombongan Kriptowang

Angkara Giat Melombong Kripto, Kazakhstan Sedia Mencatu Bekalan Elektrik Pelombong Berlesen