Terkadang kita akan mendengar tentang berita pihak audit yang memasukkan sejumlah wang yang besar secara tidak sengaja kepada seseorang. Secara umumnya, si penerima perlu memulangkan semula wang tersebut namun sebaliknya pula terjadi pada kes yang dilaporkan baru-baru ini.
Menerusi laman Bitcoinist, terdapat laporan berkenaan seorang wanita bernama Thevamanogari Manivel di Melbourne yang menerima wang refund berjumlah $10.4 juta (~RM46.6 juta) daripada Crypto.com secara tidak sengaja yang mana sepatutnya hanya menerima berjumlah RM304.33 sahaja.
Difahamkan seorang pekerja telah membuat kesilapan menaip nombor akaun yang salah untuk jumlah wang tersebut pada bulan Mac 2021 lepas. Perkara ini hanya disedari selepas tujuh bulan kemudian sewaktu audit dijalankan pada Disember 2021 yang lalu.
Selepas menjadi jutawan jadian sekelip mata, Manivel bukan sahaja tidak memaklumkan kepada pihak Crypto.com malahan membelanjakan sejumlah wang untuk membeli rumah mewah yang berharga $1.35 juta (~RM6.04 juta) dan menghantar sejumlah $430,000 (~RM1.94 juta) kepada anak perempuannya.
Dengan menjangkakan pihak Crypto.com akan menjejaki kegiatan jenayah itu, Manivel tanpa berlengah telah memindahkan nama pemilik rumah kepada kakaknya bernama Thilagavathy Gangadory yang menetap di Malaysia. Bukan itu sahaja, wanita ini telah memindahkan sejumlah besar wang kepada Gangadory.
Ketika ini pihak Crypto.com sedang berusaha mendapatkan semula wang terbabit dengan menfailkan saman menerusi mahkamah Victoria Supreme. Dalam masa yang sama, pihak Crypto.com telah berjaya membeku Manivel pada Februari 2022 lalu.
Pihak mahkamah juga memerintahkan Manivel untuk menjual rumah mewah yang dibeli dan memulangkan wang bersama faedah kepada syarikat perdagangan kripto itu. Kes ini akan dibicarakan semula pada bulan Oktober kelak dan pihak Crypto.com masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berkenaan kes ini.
Pada Februari lalu, seorang pemilik NFT BAYC ingin menyaman OpenSea sebanyak RM4.2 juta kerana NFT miliknya dicuri.
Seorang Pemilik NFT BAYC Mahu Saman OpenSea Sebanyak RM4.2 Juta Ekoran NFT ‘Dicuri’
Pengawal Selia Australia Saman Meta Atas Penipuan Iklan Kriptowang Pada Platform Facebook