Alat kawalan Nitendo Joy-Con tidak lama lagi bakal menyertai senarai peranti pihak ketiga yang disokong oleh platform Steam. Pengumuman ini telah diumumkan oleh Valve sendiri menerusi laman komunitinya. Setakat ini, Valve masih menguji ketersesuaian peranti berkenaan menerusi ujian beta.
Menurut Valve, Joy-Cons ini boleh digunakan secara berpasangan atau secara individu sama seperti yang biasa digunakan pada Switch. Langkah ini dapat memudahkan pengguna untuk bermain permainan secara berkumpulan di Steam kelak.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Steam akan menambah sokongan untuk ciri HD Rumble di dalam alat kawalan Switch berkenaan. Selain itu, ia juga bergantung pada sesebuah judul permainan yang menawarkan sokongan tersebut yang mirip seperti DualSense pada Sony PlayStation.
Dalam masa yang sama, berkemungkinan besar sokongan untuk ciri unik Joy-Con iaitu kawalan berasaskan pergerakan tidak diperkenalkan. Namun begitu, ketiadaan ciri ini tidak mendatangkan kesan besar kerana setakat ini tiada permainan Steam yang mewajibkan penggunaan ciri kawalan dengan kaedah tersebut.
Valve tidak menyatakan bilakah sokongan untuk Joy-Con akan diperkenalkan kepada umum menerusi platform Steam. Berdasarkan perkembangan semasanya yang kini hanya di fasa ujian beta dan mungkin paling lama pun ia akan diperkenalkan secara rasmi dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Selain platform Steam, Apple juga akan membolehkan penggunaan alat kawalan Nintendo Joy-Con pada iPhone bermula kemas kini iOS 16 kelak.
Nintendo Joy-Con Sedia Digunakan Pada iPhone Menerusi Kemas Kini iOS 16
Kemas Kini iOS 16 Bakal Benarkan Pindahan eSIM Daripada iPhone Lain Secara Bluetooth