Penjualan barangan maya sudah menjadi satu lubuk emas buat mereka yang mengetahui caranya. Selain dapat meraih keuntungan yang lumayan, platform yang menyediakannya juga boleh menjana pendapatan secara berterusan dengan mengenakan cas-cas tertentu.

Sehubungan itu, Meta baru sahaja mengumumkan bahawa sudah terdapat ciri sokongan jual beli dalam Horizon Worlds untuk pencipta kandungan menjana pendapatan. Difahamkan ujian sistem jual beli ini hanya terhad kepada sejumlah kecil pengguna di Amerika Syarikat dan Kanada buat masa ini.

Sumber Gambar: Meta

Pencipta kandungan yang berbakat boleh menjual barangan maya seperti pakaian dan objek 3D kepada pengguna lain yang mahu mengkustomasi karakter mereka atau ruangan kediaman maya masing-masing. Dengan langkah ini juga, para pengguna lebih bebas untuk menggayakan karakter dan rumah untuk tampil lebih unik dan menarik.

Pada peringkat awal kesemua keuntungan urusan jual beli akan dikutip oleh pencipta kandungan sebelum Meta mengambil potongan 25% di suatu tarikh yang belum ditetapkan lagi. Pihak Meta juga memberi bayangan bahawa lebih banyak tools yang bakal ditambah bagi memudahkan pencipta kandungan untuk membina objek dengan mudah.

Sebelum ini juga, Meta telah memperlihatkan prototaip baharu yang membolehkan pengguna bina dunia tersendiri menerusi arahan suara sahaja.

Prototaip Baharu Meta Membolehkan Pengguna Bina ‘Dunia Tersendiri’ Menerusi Arahan Suara

Sarung Tangan Haptik Ciptaan Meta Bolehkan Anda Merasai Objek Maya Seperti Di Dunia Sebenar