Luno merupakan pilihan utama platform dagangan aset digital yang digunakan oleh pelabur tempatan. Hal ini kerana syarikat Luno telah mendapatkan lesen yang sah untuk beroperasi di sini yang sekaligus memberikan keyakinan kepada orang ramai kepadanya.

Terbaharu, Luno telah berkongsi mengenai perancangan untuk menambah lagi banyak kriptowang pada tahun 2022 bagi didagangkan dan dilaburkan pada platformnya di Malaysia. Oleh itu, Luno dijangka melancarkan lebih kurang 10 kriptowang baharu dan sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti.

Sumber Gambar: Luno

Setakat hari ini, mereka masih belum mendedahkan lagi kriptowang baharu yang bakal disenaraikan pada platform berkenaan malahan telah menyasarkan pengguna dapat melihat penambahan beberapa kriptowang seawal pertengahan pertama 2022 kelak. Penambahan ini juga dibuat ekoran permintaan pengguna yang tinggi bagi sesetengah kriptowang.

Lanjutan daripada itu, ia akan mendorong lebih ramai pengguna ke platform tersebut dan membantu mengembangkan ekosistem dengan lebih selamat dan positif. Terdapat bancian yang dilakukan menerusi aplikasi Luno yang menyenaraikan beberapa kriptowang lain seperti Solana (SOL), Cardano (ADA), Stellar (XLM), Polygon (MATIC) dan seumpamanya.

Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut bagi penyenaraian kriptowang baharu yang bakal dimasukkan kepada platform Luno kelak. Pasti ramai yang tidak sabar kerana ia dapat memudahkan mereka memiliki atau membuat dagangan dengan pelbagai pilihan lain menerusi satu platform sahaja.

Selain Luno, Binance yang juga pernah digunakan oleh pengguna tempatan sudahpun menutup perkhidmatannya ekoran arahan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Suruhanjaya Sekuriti Mengarahkan Binance Menutup Akses Platform Laman Web Dan Aplikasi Di Malaysia

Selepas Terima Amaran Oleh SC, Aplikasi Binance Sudah Tidak Lagi Ditawarkan Di App Store