Google sudah mengesahkan tarikh rasmi bagi pengenalan barisan peranti Pixel 6 pada 20 Oktober ini. Peranti flagship ini sememangnya menjadi perhatian ramai oleh kerana rekaan yang lebih menarik serta sejumlah penaik tarafan terhadap spesifikasinya.

Terbaharu, seorang pengguna Reddit telah mendedahkan harga penawaran sebenar untuk Pixel 6 menerusi penemuan risalah promosi yang dikeluarkan sendiri oleh kedai elektronik terkemuka di German. Google Pixel 6 bakal dijual dengan harga bermula €649 (~RM3,134). 

Sumber Gambar: Phonearena

Menariknya, pengguna boleh membuat pra-tempahan bagi peranti Pixel 6 pada 19 Oktober sehingga 27 Oktober dan juga disertakan bersama headphone BOSE 700 sebagai hadiah percuma. Hal ini sekaligus telah mengesahkan tentang spekulasi tarikh penjualan rasmi bagi Pixel 6 adalah 28 Oktober kelak.

Sementara itu, Pixel 6 Pro pula dijangka bakal ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi sekitar €899 (~RM4,342). Kedua-dua model ini merupakan barisan telefon pintar yang paling penting buat Google oleh kerana penggunaan cip Google Tensor buatan mereka sendiri, penaik tarafan kamera serta penampilan rekaan yang baharu.

Walaupun Google tidak membawa model secara rasmi ke pasaran tempatan, pasti ramai peminat Google mahu mendapatkannya. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada Google dalam mengetahui lebih lanjut mengenai barisan Google Pixel 6.

Ketahui spesifikasi lengkap Google Pixel 6 Pro yang telah tertiris dengan sejumlah pembaharuan yang disertakan pada kali ini.

Spesifikasi Lengkap Google Pixel 6 Pro Didedahkan Kepada Umum

Eksekutif Google Sahkan Siri Pixel 6 Bakal Hadir Dengan Pengimbas Cap Jari Di Bawah Skrin