Sebelum ini, Google sudah mengacah peminatnya di internet dengan gambar serta perkongsian asas berkenaan spesifikasi model peranti terbaru mereka iaitu Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Jangkaan pelancaran rasmi untuk kedua-dua model ini juga akan berlaku tidak lama lagi.

Menerusi perkongsian XDA, mereka mendakwa maklumat berkaitan spesifikasi Pixel 6 Pro yang dikongsi adalah sahih kerana ianya diterima daripada sumber yang dipercayai yang sudah memakai peranti tersebut terlebih dahulu. Maklumat berkenaan adalah tentang spesifikasi lengkap bagi model Pixel 6 Pro yang bakal dilancarkan kelak.

Sumber Gambar: Tech Spot

Model Pixel 6 Pro bakal menggunakan skrin berukuran 6.7inci QHD+ dengan resolusi panel 3120 x 1440 bersama sokongan refresh rate 120Hz. Dari segi cip pula, Google memilih untuk menggunakan cip keluaran mereka sendiri iaitu Google Tensor yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 128GB.

Google dijangka akan menggunakan modem 5G daripada Samsung yang dikaitkan dengan Exynos 5123. Dikatakan model ini juga bakal mempunyai sokongan UWB yang biasa digunakan untuk penjejakan objek dengan tepat dan hadir bersama pengimbas cap jari di bawah skrin. Kapasiti bateri sebesar 5,000 mAh yang menyokong pengecasan wireless berbalik dikenali sebagai Battery Share antara yang bakal diperkenalkan.

Sumber Gambar: XDAdeveloper

Dari segi kamera pula, terdapat gabungan sistem tiga kamera di mana sensor utama menggunakan Samsung GN1 50MP + sensor ultrawide 12MP + sensor telephoto 48MP yang menyokong zum optikal 4x. Ciri terbaru yang tersedia pada kamera iaitu Baby mode dan Motion Deblur.

Model yang dinantikan ramai ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi seawal bulan hadapan. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak Google berkenaan pelancaran siri Pixel 6 kali ini.

Pada bulan lalu, eksekutif Google sendiri telah mengesahkan tentang kehadiran pengimbas cap jari di bawah skrin menerusi siri Pixel 6.

Eksekutif Google Sahkan Siri Pixel 6 Bakal Hadir Dengan Pengimbas Cap Jari Di Bawah Skrin

Google Bakal Tamatkan Pengeluaran Pixel 4A 5G Dan Pixel 5 Tahun Ini

Sumber