Boleh dikatakan majoriti syarikat teknologi gergasi mengalami masalah pengeluaran yang terganggu ekoran krisis global. Hal ini telah mendorong kepada jumlah permintaan peranti yang tinggi melebihi kemampuan penawaran sedia ada yang terhad.
Samsung selaku pengeluar telefon pintar terbesar dunia kini dilaporkan sedang meneliti untuk mengurangkan pengeluaran telefon pada tahun ini berbanding perancangan awal. Mengikut perancangan awal, Samsung menyasarkan jumlah pengeluaran sebanyak 310 juta telefon pintar pada tahun 2022 ini.
Bagaimanapun, kini Samsung dijangka akan mengurangkan pengeluaran sekitar 30 juta unit yang menjadikan jumlah keseluruhan dalam lingkungan 280 juta unit sahaja pada tahun ini.
Antara sebab keputusan drastik ini perlu diambil adalah termasuk dari segi inflasi yang berlaku di seluruh dunia yang memberikan kesan terhadap perbelanjaan pada produk baharu. Selain itu, kekurangan cip dan pengeluaran komponen lain turut memberikan kesan terhadap sasaran pengeluaran tahun ini.
Berdasarkan data awal suku pertama 2022 ini, pasaran telefon pintar secara keseluruhan dilihat berkurangan sebanyak 11% berbanding sebelum ini. Dengan ini juga, syarikat teknologi seperti Samsung dilihat bakal mengalami penurunan pertumbuhan dan pendapatan terutamanya pada tahun ini.
Selain Samsung, Apple juga dilihat mengalami masalah pengeluaran barisan iPhone 14 yang lebih lewat berbanding perancangan awalnya.
Ekoran Perintah Berkurung Di China, Pengeluaran iPhone 14 Dijangka Bakal Terjejas
Ekoran Isu Kekurangan Cip Global, Kini Samsung Bakal Meningkatkan Harga Cip Sebanyak 20%