Pada tahun lalu, sudah terdapat sejumlah laporan penyalahgunaan alat pengesan iaitu AirTag terutamanya di negara seperti Amerika Syarikat. Hal ini menjadi semakin serius kerana keselamatan orang awam terancam oleh disebabkan kebolehan mengesan lokasi sebenar mereka tanpa diketahui.

Terkini, Apple baru sahaja mengumumkan kemas kini sistem yang digunakan oleh AirTag bagi menyelesaikan beberapa isu privasi yang dihadapi oleh pengguna termasuklah penjejakan tanpa kebenaran dan juga pengintipan sejak ia mulai dipasarkan. Perkara ini berlaku kerana AirTag dahulunya tidak mengeluarkan sebarang bunyi walaupun berada jauh dari pemiliknya.

Sumber Gambar: Digital Trends

Perubahan yang dibuat pada kali ini adalah apabila AirTag dikesan berhampiran pengguna, maka terdapat sebuah paparan notifikasi yang bakal muncul pada peranti digunakan. Selepas itu, mereka boleh membuat penjejakan dengan lebih tepat untuk mengetahui lokasi sebenar AirTag.

Senario yang berbeza bakal berlaku apabila terdapat AirTag asing yang diletakkan pada barangan milik anda di mana pengguna bakal menerima notifikasi bahawa mereka sedang dijejak dan boleh mengaktifkan sistem penggera ke tahap audio yang paling tinggi untuk mencarinya.

Sumber Gambar: Lifewire

Jika speaker dimatikan pula, ciri Precision Tracking turut boleh digunakan tetapi hanya terhad kepada model iPhone 11 dan ke atas sahaja oleh kerana dilengkapi dengan cip U1. Pengguna AirTag baharu bakal diberikan amaran privasi sebaik sahaja diaktifkan supaya ia hanya boleh digunakan untuk tujuan penjejakan barangan milik peribadi dan bukan pula untuk pengintipan.

Apple juga mengesahkan mereka telah berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan setiap individu yang menyalah gunakan teknologi ini menerima tindakan yang sewajarnya. Setiap AirTag mempunyai nombor siri unik yang dipautkan pada akaun Apple ID pemilik sewaktu pendaftaran.

Ciri-ciri ini dijangka sedia diperkenalkan dalam tahun ini. Jadi, selepas ini masalah pengintipan dan penjejakan tanpa izin sudah tidak perlu dirisaukan lagi oleh orang ramai sebaik kemas kini ini dilepaskan.

Anda boleh mengetahui kes-kes yang sudah dilaporkan berkaitan kegiatan penjejakan tanpa izin yang berlaku sebelum ini dengan klik pada pautan di bawah.

AirTag Dilaporkan Telah Disalah Guna Oleh Penjenayah Untuk Ekori Mangsa

Maklumat Pengguna Apple Boleh Digodam Menerusi Peranti Penjejak AirTag

Sumber