Pada hari ini terdapat sejumlah besar syarikat gergasi yang sedia menerokai teknologi blockchain dalam menawarkan koleksi karya digital mahu pun dunia meta untuk memberi pengalaman unik kepada para peminatnya. Spotify juga kini dilihat mahu turut serta ke dalam arena NFT.

Terbaharu, Spotify dilaporkan sedang mencari mereka yang pakar yang khususnya dalam arena NFT. Meskipun begitu, jurucakap Spotify enggan mengulas secara terperinci mengenai rancangan penawaran NFT. Spotify dilihat tidak ingin ketinggalan dalam perkembangan arena teknologi terkini serta mahu mengekalkan para artis di dalam platform tersebut.

Sumber Gambar: Spotify

Malah, sudah terdapat beberapa platform penstriman muzik yang menawarkan ciri NFT untuk para peminat berhubung dengan artis kegemaran dengan lebih dekat. Artis pula boleh menjana pendapatan tambahan dengan penjualan koleksi NFT, tiket konsert digital dan banyak lagi menerusinya.

Menerusi adaptasi NFT pada platform Spotify kelak, dijangkakan penggunaan blockchain mampu menarik minat para artis tanpa perlu beralih kepada platform pesaing. Bahkan, terdapat sejumlah artis terkemuka yang menunjukkan minat terhadap NFT seperti Snoop Dog, Eminem, Justin Bieber dan banyak lagi.

Buat masa ini, Spotify masih tidak berkongsi sepenuhnya perancangan mereka dalam arena blockchain ini. Apa yang pasti, Spotify ingin menerokai dunia blockchain dan sedia membawa pembaharuan pada platformnya untuk lebih mesra kripto selepas ini serta menarik lebih ramai pengguna baharu padanya.

Selain Spotify, Mark Zuckerberg juga sudah mengesahkan ciri NFT bakal ditawarkan pada Instagram yang mana membolehkan para pengguna berdagang secara terus.

Mark Zuckerberg Sahkan Ciri NFT Bakal Ditawarkan Di Instagram Tidak Lama Lagi

Casetify Lancar Sarung Telefon Khas Untuk Karya NFT