Xiaomi baru-baru ini telah membuat kejutan apabila mengikat kerjasama bersama syarikat Leica. Dengan kolaborasi ini juga, pihak Xiaomi telah mengesahkan kehadiran kamera Leica pada siri Xiaomi 12S pada kali ini.
Terkini, siri Xiaomi 12S baru sahaja dilancarkan secara rasmi di China yang merangkumi model 12S, 12S Pro dan paling berkuasa iaitu 12S Ultra. Oleh itu, mari kita lihat spesifikasi penuh bagi setiap model siri Xiaomi 12S pada kali ini.
1. Xiaomi 12S
Model paling asas sekali pada siri kali ini adalah Xiaomi 12S. Model ini hadir dengan skrin paparan 6.28-inci AMOLED yang menyokong refresh rate 120Hz dan juga HDR10+. Ditambah pula janaan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan pilihan memori sehingga 12GB dan memori dalaman 256GB yang mampu menjanjikan penggunaan lancar.
Kamera utama pula sudah ditala oleh oleh Leica yang mana merangkumi tiga lensa iaitu 50MP dengan sensor utama Sony IMX707, sensor ultra-lebar 13MP dan juga makro 5MP dan juga kamera swafoto 32MP. Kehadiran Leica dapat menyokong pelbagai ciri baharu dan pengalaman rakaman yang lebih baik.
Kapasiti bateri pula sebesar 4,500mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 67W menerusi wayar dan 50W secara wireless. Xiaomi 12S ini sedia ditawarkan dengan harga bermula RMB3,999 iaitu sekitar RM2,636.
2. Xiaomi 12S Pro
Sementara versi Pro pula hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu 6.73-inci AMOLED E5 dengan resolusi 2K dan menyokong refresh rate 120Hz. Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori mencapai 12GB RAM LDDR5 serta storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1.
Untuk kamera pula, peranti ini menggunakan sensor 50MP Sony IMX707 sebagai sensor utama dengan sokongan Xiaomi AI Image dan Xiaomi Pro Focus. Model ini turut dipadankan dengan dua lagi sensor 50MP untuk sudut lebar dan potret. Kamera swafoto pula sama sahaja seperti model asas iaitu 32MP.
Bateri sebesar 4,600mah telah dimuatkan pada peranti dengan sokongan pantas 120W berwayar sementara 50W secara wireless. Sama seperti model sebelum ini, cip Xiaomi Surge P1 turut dikekalkan untuk memantau proses pengecasan pantas pada peranti. Versi Pro sedia ditawarkan dengan harga bermula RMB,4699 iaitu sekitar RM3,098.
3. Xiaomi 12S Ultra
Untuk model paling berkuasa siri kali ini, Xiaomi 12S Ultra ini dilengkapi skrin sama seperti versi Pro yang turut menyokong refresh rate 120Hz. Spesifikasi dalaman juga sama sahaja seperti model Pro kecuali pilihan storan dalaman mencecah 512GB. Bateri berkapasiti 4,860mAh yang hanya menyokong 67W berwayar ini juga mempunyai ciri pengecasan berbalik 10W.
Selain itu, terdapat sistem penyejukan tambahan untuk menambah baik lagi pengalaman penggunaan yang lebih lama tanpa merasai sebarang haba menerusinya. Peranti ini juga dilengkapi dengan enjin haptik paksi-X serta menyokong dwi-5G dan juga mempunyai ciri perlindungan IP68.
Model ini secara khususnya diberikan fokus penuh pada bahagian fotografi yang mana menampilkan setup kamera yang lebih profesional. Sensor kamera bersaiz 1-inci bersama binaan Sony IMX 989 Quad-Bayer ini boleh memastikan imej yang lebih baik dengan kurang kesan kabur malah mod malam yang lebih mantap.
Kamera talaan Leica ini juga hadir dengan lensa optikal tersendiri berserta teknologi lensa asferik 8P yang boleh memastikan tiada masalah kilauan cahaya, kesan ghosting dan juga tiada lagi isu kesan silau. Xiaomi 12S Ultra turut muncul sebagai peranti pertama Android yang menyokong rakaman video Dolby Vision HDR dan menyokong penstabilan HyperOIS.
Dari segi audio, peranti ini sudah dilengkapi speaker stereo simetri Harman Kardon dengan sokongan Dolby Atmos dan Snapdragon Sound sekaligus menghasilkan audio dengan kualiti terbaik dan imersif. Peranti ini hanya dijual secara eksklusif di China bermula harga RMB5,999 (~RM3,954) dan tiada perancangan lagi untuk dijual pada pasaran global.
Selain itu, tahukah anda tentang Xiaomi berjaya muncul sebagai jenama telefon pintar pilihan rakyat Malaysia pada tahun 2021?
Xiaomi Berjaya Muncul Sebagai Jenama Telefon Pintar Pilihan Rakyat Malaysia Pada Tahun 2021
CEO Xiaomi Kongsikan 4 Telefon Pintar Yang Digunakan Pada Ketika Ini