Penggunaan pengimbas wajah untuk menyahkunci peranti sememangnya fungsi yang digemari oleh para pengguna. Pada ketika ini, semua orang masih diwajibkan memakai pelitup muka sekaligus tidak boleh menikmati fungsi itu lagi. Maka, pengguna hanya menggunakan ciri imbasan jari sahaja atau memasukkan kata laluan untuk mengakses peranti.

Semua ini akan berubah buat para pemilik peranti Apple kerana pada kemas kini iOS 15.4 kelak membolehkan ciri Face ID untuk mengecam wajah pemilik peranti walaupun mereka sedang memakai pelitup muka. Setakat ini, ciri tersebut masih sedang diuji pada iOS 15.4 Beta yang dijangka bakal ditawarkan pada minggu ini.

Apple mengatakan bahawa peranti iPhone boleh mengenal pasti keunikan ciri tersendiri yang terdapat pada kawasan mata pengguna untuk pengesahan itu. Jadi, pengguna boleh mengakses masuk peranti dengan mudah walaupun sedang memakai pelitup muka selepas ini.

Tetapan baharu yang tertera Use Face ID With a Mask bakal ditambah pada bahagian tetapan sekuriti serta tersedia pilihan mengecam wajah pengguna menerusi cermin mata yang sering digunakan. Terdapat laporan yang mengatakan ciri ini tidak boleh digunakan oleh pengguna yang memakai cermin mata hitam pada kali ini.

Sebelum ini juga, Apple sudah pun memberikan kelebihan kepada pengguna untuk menyahkunci peranti dengan memadankannya pada Apple Watch yang dipakai. Jadi, pengguna boleh mengakses peranti dengan mudah tanpa perlu memasukkan sebarang kata laluan atau imbasan wajah lagi.

Sebelum ini juga, para pengguna iPhone 13 telah dikejutkan dengan pembuangan ciri ‘Noise Cancellation’ oleh pihak Apple sendiri.

Apple Sahkan Pembuangan Ciri ‘Noise Cancellation’ Secara Rasmi Daripada Barisan iPhone 13

Apple Dalam Perancangan Untuk Hasilkan Teknologi Pengecasan Menerusi Skrin iPhone Sahaja

 

 

Sumber