Lamborghini merupakan sebuah jenama pengeluar kereta mewah terkemuka di dunia yang kini mempunyai sejumlah pemilik di seluruh pelusuk dunia. Jenama Lamborgini sangat masyhur sehinggakan sebarang produk yang ditawarkan oleh mereka sudah pasti akan habis terjual.

Terbaharu, siapa sangka dengan perkembangan NFT yang kian pesat sekaligus menarik minat syarikat ini untuk turut serta menawarkan sebuah projek NFT pertamanya buat mereka yang berminat. Difahamkan pada bulan lalu, Lamborghini sudah mengacah dengan sebuah imej plat yang diletakkan pada permukaan seperti di planet angkasa lepas.

Sumber Gambar: Lamborghini newsroom

Kini semua terjawab selepas Lamborghini mengumumkan bahawa ini semua sebahagian daripada projek NFT yang menjadikan ia sebuah koleksi edisi terhad yang ditawarkan pada kuantiti yang sedikit sahaja. Lamborghini menamakan barangan tersebut sebagai Space Key yang hanya terhad kepada lima unit sahaja di dunia.

Setakat ini, masih tidak diketahui artis di sebalik projek tersebut dan apa yang pasti bahan tersebut sudah dibawa pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada tahun 2019 lalu. Bahan tersebut juga telah digunakan dalam beberapa eksplorasi projek penyelidikan berrsama pihak stesen tersebut.

Sumber Gambar: Lamborghini newsroom

Kandungan barangan yang ditawarkan adalah sekeping bahan komposit gentian karbon termaju yang dihantar oleh Lamborghini sendiri ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Selepas kembali dari angkasa, komposit gentian sudah diperiksa dengan teliti sebelum disediakan menjadi NFT yang dikenali sebagai Space Key.

Setiap satu daripada lima kunci yang ditawarkan ini bakal dipautkan kepada NFT yang kemudiannya boleh diakses melalui kod QR yang terdapat di belakang elemen gentian karbon fiber tersebut.

Setakat ini, syarikat pengeluar kereta Itali terkemuka ini hanya menyatakan bakal berkongsi maklumat secara terperinci daripada semasa ke semasa. Ini termasuklah informasi lanjut berkaitan artis yang menghasilkan karya digital tersebut dan juga waktu dan tempat yang bakal dilakukan bidaan karya digital berkenaan bagi mereka yang berminat.

NFT kini turut dilabelkan sebagai aset masa hadapan yang mana sekaligus dilaporkan pasaran NFT sudah mencecah RM92.5 billion pada tahun lalu.

Dilabel Aset Masa Hadapan, Pasaran NFT Dilaporkan Berjaya Mencecah RM92.5 Bilion

Populariti Metaverse Berjaya Dorong Token NFT Meningkat Sehingga 42% Sejak Bulan Lalu

Sumber