Tahun 2021 menampilkan pelbagai peristiwa besar yang berlaku dan Google menjadi salah satu tempat carian informasi utama yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Google Malaysia pada minggu ini telah berkongsi senarai carian popular yang dibuat oleh pengguna Malaysia sepanjang tahun 2021 ini.
Secara ringkasnya, i-Sinar telah menduduki tempat pertama di dalam carta carian Google untuk sepanjang tahun ini. i-Sinar merupakan kemudahan untuk ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup. Sementara di tempat kedua pula, ia dipegang oleh Euro 2021 yang berjaya menarik minat peminat bola tempatan.
Di tempat ketiga iaitu Popcat turut menyaksikan carian yang tinggi pada tahun ini terutamanya sewaktu perintah kawalan dikuatkuasakan. Maka, ramai yang meluangkan masa dengan permainan PopCat untuk menewaskan pelbagai negara lain di dalam carta permainan itu.
Carian keempat tertinggi adalah i-Citra diikuti dengan Bantuan Prihatin Rakyat yang menjadi tempat semakan dan memohon bantuan oleh orang ramai. Sekiranya disimpulkan, sebanyak tiga laman bantuan kerajaan yang berada di dalam carta 5 teratas menjadi carian utama orang ramai sepanjang tahun ini.
Sementara untuk carian gajet dan peranti paling popular sepanjang tahun ini menampilkan jenama yang sedang berkembang naik dalam menawarkan sejumlah peranti kepada pengguna tempatan. Bermula dengan tempat pertama di mana ia diduduki oleh realme 8 Pro Malaysia.
Perkara ini sekaligus menyaksikan model realme 8 Pro berjaya menjadi carian paling popular dan mengatasi peranti yang lebih popular secara umumnya iaitu iPhone 13 yang baru ditawarkan pada Oktober lalu. Diikuti rapat pula dengan carian OnePlus 9 Malaysia review. Seterusnya, Apple sekali lagi menjadi carian utama pada tempat ke-4 iaitu iPhone 13 Pro Max.
Akhir sekali, Oppo A54 menjadi pelengkap bagi carta 5 teratas carian gajet paling popular bagi sepanjang tahun 2021. Sementara, jenama Xiaomi dan Vivo juga merupakan antara yang dicari oleh orang ramai pada enjin carian Google dengan tersenarai di dalam carta 10 teratas.
Anda turut melihat senarai carian yang lain di Google sepanjang tahun 2021 dengan melawati laman Google Trends. Selain senarai, Google juga menawarkan kompilasi carian paling popular di seluruh dunia berasaskan video yang berjudul Year In Search 2021. Sama-sama kita nantikan apa pula yang bakal menjadi popular pada tahun hadapan.
Sementara itu, perkataan NFT juga berjaya dinobatkan sebagai ‘Word Of The Year’ pada tahun 2021.
Perkataan NFT Berjaya Dinobatkan Sebagai ‘Word Of The Year’ Pada Tahun 2021