Pada tahun lalu, NFT atau non-fungible token telah menjadi perhatian di seluruh dunia dan ramai pula yang berlumba-lumba mahu mendapatkannya untuk menjadi pemilik tunggal bagi suatu aset digital tersebut. Malah, para jutawan sedia membelanjakan wang yang besar untuk mendapatkan NFT termahal di dunia kerana ia dilihat sebagai satu pelaburan baharu.

Bukan itu sahaja, aset digital yang dimiliki juga boleh disimpan menerusi server blockhain yang sudah pasti lebih selamat dan terjaga rapi berbanding aset di dunia sebenar. Kali ini kita bakal melihat 6 hasil karya NFT termahal di dunia yang berjaya di jual setakat ini dengan harga mencecah ratusan juta ringgit.

1. Everydays: The First 5,000 Days – RM 287 juta

Sumber Gambar: Urban Digital

Ini merupakan rekod karya NFT termahal di dalam sejarah setakat ini yang berjaya dijual oleh Mike Winkelmen atau lebih dikenali sebagai Beeple menerusi sebuah laman bidaan dalam talian. Populariti beliau mulai naik dengan mendadak selepas berjaya menjual sejumlah hasil karya seni NFT mencecah jutaan ringgit pada sebelum ini juga.

Apa yang menarik mengenai NFT ini? Ini merupakan himpunan koleksi gambar digital yang telah diambil pada setiap hari sejak 2007 lagi yang merangkumi lebih daripada 5,000 gambar yang menampilkan perkembangan sepanjang karier beliau di dalam industri seni. Dengan kejayaan menjual hasil karya NFT ini, beliau telah tersenarai di tempat ketiga untuk seniman paling mahal di dunia.

2. CryptoPunk #75233 – RM49.03 juta

Sumber Gambar: Decrypt

Pasti anda pernah melihat karya karakter piksel di atas yang mana telah tercipta menerusi Cryptopunks. Sebenarnya, Cryptopunks ini hanyalah sebuah sistem perisian yang dibangunkan oleh dua orang individu di Amerika Syarikat. Menerusi Cryptopunks, lebih daripada 10,000 set unik karakter digital yang telah dicipta dan sebahagiannya telah dijual menerusi pasaran Blockchain.

Karakter unik ini telah menjadi popular oleh kerana ciri yang terdapat padanya yang memakai pelitup muka sekaligus harga telah melonjak naik terutamanya sejak wabak Covid melanda di seluruh dunia. Pemilik NFT baru ini sangat meminati dengan koleksi karakter Cyberpunk dan mendapatkan karakter ini sebagai simbolik Covid-19 serta populariti dunia NFT itu sendiri.

3. CROSSROAD – RM27.4 juta

CROSSROAD ini juga antara salah satu hasil karya oleh Beeple yang merupakan penjualan NFT pertamanya di Nifty Gateway dan mempunyai cerita yang lebih menarik menerusinya. Pada fasa permulaan membuatnya, NFT ini telah dirancang akan berubah mengikut keputusan pilihanraya Amerika Syarikat pada tahun 2020.

Jika Joe Biden menang, NFT ini akan berubah dan menggambarkan bekas Presiden Donald Trump yang terbaring di tanah dengan pelbagai kata hinaan tertulis di tubuhnya. Manakala jikalau Trump menang pula, imej tersebut bakal menampilkan Trump berdiri memakai mahkota sambil kakinya memijak api sebagai simbolik kemenangan keduanya berturut-turut.

4. Ocean Front – RM24.9 juta

nft termahal di dunia
Sumber Gambar: Decrypt

Pada Mac 2021, Justin Sun telah mendapatkan hasil karya Ocean Front pada harga RM24.9 juta daripada Beeple. Mungkin sebahagian anda telah menganggap NFT hanyalah tempat billionair menghabiskan sejumlah wang besar untuk menayang kekayaan semata-mata, namun sebahagian daripadanya turut telah digunakan untuk tujuan yang baik.

Menerusi penjualan NFT ini, kesemua jumlah keuntungan yang diterima menerusi bidaan telah disalurkan kepada Open Earth Foundation, ini merupakan sebuah NGO yang berusaha untuk mengatasi masalah perubahan iklim di peringkat global. Sumbangan ini bakal melancarkan lagi perjalanan mencapai matlamat yang disasarkan.

5. World Wide Web we source code – RM22.5 juta

nft termahal di dunia
Sumber Gambar: Decrypt

Ramai terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh pencipta laman web pertama di dunia iaitu Sir Tim Berners-Lee mahu menjual sumber kod asal laman web pertamanya berasaskan NFT menerusi laman bidaan. Ramai mengkritik beliau kerana menjual sumber kod laman web kerana ia merupakan sebuah kod yang boleh diakses umum dan bukan untuk hak milik tunggal pula.

Namun begitu, beliau menegaskan yang dijualnya bukan domain awam laman web itu sendiri tetapi ia sebuah sumber kod asal yang telah didokumentasi menjadi sebuah karya NFT. Menariknya, sehari selepas penjualannya, seseorang telah mengesan kesalahan kod yang terdapat pada karya NFT tersebut dan dijangka nilainya akan melonjak naik lagi selepas itu.

6. Save Thousand Of Lives – RM21.1 juta

nft termahal di dunia
Sumber Gambar: Medium

Seperti yang kita sedia maklum, penjualan NFT yang termahal bukanlah sekadar melambangkan status seseorang sahaja. Terdapat hasil jualan yang sedia disalurkan kepada organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan untuk pelbagai tujuan baik. Seperti hasil karya NFT ini, ia berjaya mengumpul dana sebanyak RM21.1 juta pada Mei 2021.

Dana yang berjaya terkumpul akan digunakan untuk membantu para ibu di seluruh Asia Tenggara dalam menampung kos persalinan bayi mereka. Berdasarkan anggaran sekurang-kurangnya sembilan daripada 1,000 bayi dapat diselamatkan dengan kos RM5,131 bagi setiap seorang.

Jika kita lihat semula NFT itu sendiri, ia boleh digunakan sebagai medium untuk mengumpul dana alaf baru pada hari ini. Malah, para pembeli boleh berbuat kebaikan sementara masih mendapat aset digital yang boleh dijadikan pelaburan sekaligus. Realitinya NFT telah mengubah landskap secara menyeluruh pada hari ini dalam pelbagai aspek.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun susdah mampu menjana keuntungan lebih daripada RM1.6 juta menerusi penjualan hasil karya NFTnya.

Kanak-Kanak 12 Tahun Ini Jana Lebih RM1.6 Juta Hasil Jualan Karya NFT

Pentas, Platform Jual Beli NFT Tempatan Memfokuskan Budaya Malaysia

Sumber