Sepasang suami isteri di Texas dilaporkan telah menyaman syarikat gergasi Apple ekoran kehilangan pendengaran anak mereka daripada menggunakan AirPods. Difahamkan kejadian ini sudah berlaku sejak 2020 lepas dan baru sahaja menfailkan saman pada tahun ini.
Carlos Gordoa dan Ariani Reyes mendakwa anak mereka pada ketika itu yang berusia 12 tahun sedang menggunakan fon telinga AirPods Pro untuk menonton filem di Netflix menerusi iPhone. Difahamkan anak mereka telah menetapkan kelantangan audio pada tahap yang rendah.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba terdapat notifikasi yang dinamakan AMBER Alert telah diterima dalam masa yang sama tahap kelantangan meningkat ke tahap maksimum secara automatik tanpa sebarang amaran. Untuk makluman, AMBER Alert adalah notifikasi peringatan berkaitan kehilangan individu atau bencana yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Hal ini sekaligus menyebabkan gegendang telinga anak mereka terkoyak kemudian mendorong kepada kehilangan pendengaran kekal. Selepas kejadian tersebut, kehidupan mangsa dikatakan telah terjejas teruk sehingga tidak seaktif seperti sebelumnya.
Oleh itu, ibu bapa mangsa mahu menuntut keadilan ke atas insiden yang berlaku kerana Apple didakwa tidak menyediakan ciri keselamatan pada AirPods seperti mengehadkan tahap kelantangan atau memberi notifikasi amaran apabila terdapat audio yang kuat yang ingin dimainkan.
Setakat ini, Apple masih belum memberikan sebarang kenyataan ke atas dakwaan yang dibuat oleh keluarga mangsa. Dalam pada itu, para pengguna turut diingatkan untuk melaraskan kelantangan audio pada tahap yang sewajarnya sewaktu menggunakan fon telinga dan seumpamanya.
Sebelum ini juga, pemilik Apple Watch pernah menfailkan saman terhadap Apple kerana mengalami kecederaan kritikal pada lengan.
Alami Kecederaan Pada Lengan, Pemilik Apple Watch Ini Bertindak Failkan Saman Terhadap Apple
Gara-Gara Sibuk ‘Tangkap’ Pokemon Berbanding Penjenayah, Dua Polis Amerika Syarikat Telah Dipecat