Boleh dikatakan saban hari kita mendengar berita berkaitan individu menjadi mangsa penipuan sehingga menanggung kerugian ribuan ringgit. Namun berbeza dengan kisah kali ini apabila seorang individu berjaya mengelakkan diri daripada ditipu oleh panggilan scammer.

Menerusi laporan terbaru, seorang peniaga berusia 44 tahun di Terengganu telah melakukan tindakan bijak dengan membuat semakan nombor akaun sekaligus berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan nama Ketua Polis Terengganu.

Semua ini bermula apabila beliau menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali. Pemanggil itu mendakwa sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai kira-kira RM39,600.90 lalu diarah memberi maklumat peribadi untuk semakan.

Mangsa juga didakwa mempunyai satu notis dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang ditandatangani Ketua Polis Negeri. Malah, mangsa turut dituduh terbabit dalam kegiatan pengedaran dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 juta.

Ahli sindiket tersebut kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang individu yang kononnya dikatakan pengawai daripada Bank Negara Malaysia. Selepas itu, suspek mengarahkan mangsa supaya memberikan maklumat perbankan dalam talian dan diminta membuat pindahan wang ke akaun diberikan.

Mangsa bagaimanapun tidak mengikuti arahan tersebut sebaliknya membuat semakan dan mendapati nombor akaun diberikan bukannya nombor akaun BNM. Lalu, beliau pun membuat laporan ke pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, pihak polis menasihatkan seluruh masyarakat agar tidak mudah terperdaya dengan panggilan telefon daripada orang tidak dikenali. Dengan teknologi terkini, pelbagai teknik yang boleh digunakan oleh sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa yang naif.

Dalam pada itu, anda perlu mengetahui cara untuk menyemak pemilik nombor telefon yang tidak dikenali dengan klik pautan di bawah.

Ini Caranya Untuk Semak Pemilik Nombor Telefon Yang Tidak Dikenali

Mampu Peroleh Sehingga RM100,000 Sebulan, Rakaman Perbualan ‘Scammer’ Ini Raih Perhatian Netizen

Sumber