Memang tidak dinafikan kehadiran robot pada hari ini boleh memudahkan pelbagai urusan manusia untuk melakukan sesuatu perkara. Tetapi ia bukanlah perkara yang mudah untuk membangunkan sebuah robot yang boleh berfungsi dengan baik sebelum ditawarkan kepada umum mahupun bagi kegunaan di lapangan pekerjaan.

Terbaharu, sekumpulan anak tempatan daripada syarikat Ideasparq Robotics Sdn Bhd (Idesparq Robotics) mencatatkan sejarah sendiri selepas berjaya mencipta robot pembersihan lantai buatan Malaysia yang pertama untuk kegunaan di hospital-hospital tempatan.

Sumber Gambar: ideasparq robotic

Robot yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan ini melibatkan sejumlah 100 orang dengan pelbagai kepakaran dan jurusan serta mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan. Kos keseluruhan bagi membangunkan sesebuah robot ini mencecah RM600,000 yang mana termasuklah penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Difahamkan sebanyak tiga buah hospital yang sudah pun menggunakan khidmat robot tersebut iaitu Hospital Tampin, Negeri Sembilan, Hospital Jasin, Melaka dan Hospital Sultan Ismail, Johor. Dengan adanya robotik serba canggih ini, ia tidak memerlukan penglibatan tenaga kerja manusia yang ramai sekaligus menjadikan kerja-kerja pembersihan lebih efisien di hospital.

Sumber Gambar: Berita Harian

Antara ciri-ciri menarik yang terdapat pada robot pembersih lantai (Autonomous Floor Scrubber) adalah boleh dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh serta dilengkapi teknologi sensor 360°  LIDAR dan menyokong pengecasan secara wireless. Malah, robot ini boleh berfungsi empat dalam satu iaitu cuci, mop, sapu dan vakum dengan tempoh operasi selama empat jam.

Sebagai sebuah syarikat penyedia solusi robotik, mereka juga turut membangunkan beberapa robot lain khusus untuk digunakan dalam industri kesihatan seperti Medisparq Spray, Medisparq Deliver, Medisparq Fogger dan Medisparq Violet. Malah, dengan menggunakan robot juga dapat menggurangkan rantaian virus COVID-19.

Sementara itu, kami kongsikan juga beberapa artikel perkembangan Malaysia terkini menerusi pautan di bawah.

Mahu Bantu Tingkatkan Pendapatan, Kerajaan Sasarkan 20,000 Usahawan Luar Bandar Sertai Aplikasi eDesa

Thailand Iktiraf Sijil Vaksinasi COVID-19 Pada Aplikasi MySejahtera Sempena Pembukaan Sempadan

Kerajaan Minta Syarikat Telekomunikasi Naik Taraf Liputan Dan Perkhidmatan Demi Kepentingan Pengguna