Bila bercakap mengenai teknologi dan isu semasa, orang ramai lebih selesa untuk bertanya kepada individu terkemuka dunia iaitu Bill Gates. Jika sebelum ini beliau sudah menjawab berkaitan perihal kriptowang, kini pasti ramai yang ingin mengetahui pula pandangan terhadap NFT.

Pada kali ini, Bill Gates mengatakan bahawa NFT adalah sejenis penipuan berasaskan “teori orang lebih bodoh” (greater fool theory) untuk meneruskannya. Beliau telah mengeluarkan kenyataan berani ini di dalam sebuah acara yang dianjurkan oleh TechCrunch di University Berkeley.

Sumber Gambar: The Times

Teori orang yang lebih bodoh ini bermaksud keuntungan boleh dicapai dalam setiap transaksi selagi wujud orang yang lebih bodoh untuk membeli sesuatu barang yang melangkau nilai sebenarnya. Gates juga dengan nada sarkastik mengatakan imej beruk digital yang mahal akan membawa kebaikan besar kepada dunia.

Seperti yang diperkatakan oleh Bill Gates, ada benarnya juga kerana kita sendiri boleh melihat bagaimana arena NFT sudah merundum dengan mendadak sekali pada tahun ini. Malah, terdapat sejumlah laporan berkaitan NFT terkemuka yang disangka menjadi pelaburan tinggi hanyalah impian kosong sahaja kerana tidak menerima sambutan ramai.

Selain NFT, arena kriptowang juga terjejas teruk yang mana nilai Bitcoin sudah jatuh di bawah paras RM100,000 pada saat ini.

Alami ‘Crypto Crash’, Nilai Bitcoin Jatuh Di Bawah Paras RM100,000

Terkesan Dengan Penurunan Harga, Syarikat Pelabur Terbesar Bitcoin Tanggung ‘Kerugian’ RM5.5 Bilion