Sudah menjadi lumrah, setiap kali pelancaran terbaru iPhone, pasti jenama-jenama telefon pintar yang lain berlumba-lumba untuk memerli model terbaru keluaran iPhone. Selain menumpang populariti, memaparkan kecanggihan telefon pintar jenama tersendiri berbanding iPhone antara yang menjadi keutamaan.

Terbaharu, ‘musuh’ utama Apple dalam industri telefon pintar iaitu Samsung kembali dengan sebuah iklan dalam memerli siri iPhone 14. Menariknya, iklan ini diterbitkan hanya beberapa jam sahaja pelancaran yang dibuat pihak Apple.

https://www.youtube.com/watch?v=oZ_ljzFayWY

Menerusi ‘iklan’ yang dikongsikan Samsung bertajuk The Flip Side, dapat dilihat pengguna Apple seolah ‘trauma’ melihat telefon pintar Samsung yang hadir dengan fungsi skrin boleh dilipat sehingga membawa kepada mimpi.

Lebih mengejutkan, Samsung pada kali ini dilihat lebih berani dengan terus menyebut model pesaing iaitu iPhone dalam iklan mereka. Iklan yang dimuat naik nyata telah mendapat respon yang luar biasa daripada netizen. Malah terdapat netizen yang seolah suka dengan iklan berunsur perli yang dibuat Samsung.

Sumber: Samsung Mobile US

Untuk pengetahuan, ini bukanlah kali pertama Samsung hadir dengan iklan memerli Apple. Sebelum ini, Samsung pernah memuat naik iklan memerli iPhone yang mempunyai notch atau takuk sebelum terpaksa memadamkan iklan tersebut gara-gara model keluaran terbaru mereka juga turut dilengkapi takuk.

Situasi yang sama turut berlaku melibatkan pilihan Apple untuk tidak menyertakan pengecas sebelum diikuti syarikat Samsung.