Perkembangan kriptowang yang kian pesat pada hari ini telah menarik minat pelbagai negara untuk menggubal undang-undang serta membuat regulasi terhadap wang digital tersebut. Sementara itu, ada segelintir negara yang masih curiga terhadap keupayaan kriptowang sebagai alternatif pembayaran serta kesan kepada insitutisi kewangan.

Menerusi laporan Reuters, Bank Pusat Russia pada kali ini sudah mencadangkan pengharaman penggunaan dan kegiatan perlombongan kriptowang di wilayah Russia. Hal ini kerana kebimbangan terhadap kestabilan kewangan, kesejahteraan rakyat dan juga kedaulatan dasar monetarinya.

Sumber Gambar: CNBC

Ini juga merupakan langkah terbaharu yang dibuat terhadap industri kriptowang di peringkat global oleh negara Asia dan Amerika Syarikat kerana bimbang akan mata wang digital yang dikendalikan secara persendirian dengan nilai yang tidak menentu sekaligus boleh menjejaskan kawalan mereka terhadap sistem kewangan dan monetari.

Di Russia pula, mereka sudah menunjukkan bantahan kepada kriptowang kerana ia boleh digunakan dalam pengubahan wang haram atau untuk membiayai kegiatan keganasan. Walaupun kerajaan Russia masih memperakui kriptowang adalah sah, namun tetap melarang penggunaannya sebagai alat pembayaran.

Sumber Gambar: Bank Info Security

Selain isu tidak boleh menjejak aliran kriptowang, bank pusat juga membincangkan tentang penggunaan kriptowang membawa ciri-ciri skim piramid kewangan, terdapat potensi kriptowang ini tidak bernilai kelak serta mengancam kestabilan kewangan rakyat di negara tersebut.

Sementara itu, Russia juga merupakan negara ketiga terbesar di dunia dalam perlombongan bitcoin yang hanya berada di belakang Amerika Syarikat dan Kazakhstan. Bank pusat juga menyatakan kegiatan perlombongan di dalam skala besar telah mencipta masalah penggunaan tenaga yang banyak.

Sumber Gambar: The Japan News

Seperti yang kita sedia maklum, untuk melombong kriptowang memerlukan komputer berkuasa tinggi yang sentiasa beroperasi pada setiap masa. Hal ini kerana ia perlu menyelesaikan teka-teki matematik yang kompleks untuk menerima ganjaran berasaskan bitcoin menerusinya.

Demi atasi masalah ini daripada berlarutan, pihak bank pusat mencadangkan solusi terbaik adalah memperkenalkan larangan perlombongan kriptowang di Russia. Dalam masa yang sama, Russia bakal mengisukan monetari digitalnya sendiri untuk menjaga kedaulatan dasar monetari serta membendung masalah inflasi.

Di Kazakhsatan juga, kerajaan terpaksa mencatu bekalan elektrik kepada pelombong berlesen kerana menghadapi masalah bekalan tenaga yang terhad.

Angkara Giat Melombong Kripto, Kazakhstan Sedia Mencatu Bekalan Elektrik Pelombong Berlesen

India Cadang Kenakan Denda Sehingga RM11.4 Juta Buat Individu Langgar Peraturan Kripto

Sumber