Kebiasannya PdPR ini diadakan sama ada menggunakan aplikasi Zoom, Google Meet atau aplikasi lain yang bersesuaian buat para guru dan anak murid berada dalam suasana pembelajaran yang kondusif. Namun begitu, terdapat berita tentang serangan Zoom Raid yang dilakukan secara sengaja sewaktu sesi kelas berlaku menerusinya baru-baru ini.
Difahamkan Zoom Raid dilihat sudah kian merebak secara meluas sehinggakan guru-guru menjadi buntu dengan perkara tersebut. Lebih teruk lagi apabila serangan Zoom Raid ini dilakukan daripada kalangan pelajar sendiri dengan berkomplot bersama pengguna internet di luar sana. Mari kita singkapi maksud Zoom Raid dan cara mengatasinya pada masa kelak.
Kenali Zoom Raid
Istilah Zoom Raid sudah mula timbul sejak 2020 lagi di mana semua aplikasi telesidang berpotensi untuk diserang secara terus oleh pengacau atau individu asing sewaktu sesi pembincangan ataupun pembelajaran berlangsung. Mereka menyertai sesebuah sesi persidangan tanpa diundang melalui pautan yang dikongsi oleh ahli yang terlibat di dalam sesi berkenaan.
Zoom Raid telah menimbulkan masalah yang serius terhadap pihak sekolah yang bukan hanya berlaku di Malaysia, malahan ia terjadi di seluruh dunia. Motif utama serangan ini dilakukan sudah semestinya untuk mengacau sesi pembelajaran yang sekaligus boleh menggangu keseluruhan pengguna di dalamnya.
Lebih teruk lagi kesemua ahli di dalam persidangan boleh ditendang keluar daripada panggilan persidangan berkenaan. Modus operandi mereka yang terlibat adalah dengan mencipta atau menyertai kumpulan yang direka khas untuk tujuan serangan.
Malahan, terdapat sejumlah kumpulan Zoom Raider yang masih giat aktif di pelbagai platform seperti Telegram, Discord dan sebagainya. Apabila pautan kelas sudah dihantar kepada murid-murid, segelintir daripada mereka terus berkongsi pautan kelas yang bakal berlangsung ke dalam kumpulan itu.
Kemudian, sejumlah besar ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada pelajar sekolah lain mahupun individu asing memulakan serangan dengan menyertai sesi pembelajaran tanpa disedari oleh pengajar. Serangan yang dilakukan termasuklah dengan membuka mikrofon lalu membuat bising dan ada yang menghantar mesej serta gambar berbaur lucah, kurang sopan dan lain-lain lagi.
Dengan keadaan yang tidak terkawal, para guru yang menghadapinya terpaksa membatalkan sesi kelas tersebut kerana tidak mahu ia berlarutan. Maka, berjayalah rancangan suspek yang terlibat untuk menggagalkan sesi kelas tertentu. Serangan ini juga berlaku dengan terancang dan bukan digodam oleh mana-mana pihak asing secara tiba-tiba.
Cara mengatasi serangan Zoom Raid
Terdapat beberapa solusi yang boleh dilakukan oleh para guru untuk mengelak perkara ini terus berlaku. Pertama sekali, anda perlu membuang perisian auto admit extension sekiranya ia sudah terpasang sebelum ini di pelayar web. Hal ini kerana extension tersebut bakal menerima sebarang permintaan daripada individu asing untuk masuk ke dalam sesi panggilan secara automatik.
Seterusnya, setiap kelas yang diadakan mestilah mempunyai pautan yang berlainan agar pelajar tidak dapat berkongsi lagi pautan yang sama untuk melakukan serangan dengan mudah. Dalam masa yang sama, anda turut diingatkan untuk tidak menetapkan pautan Google Meet yang sama pada kalendar untuk minggu berikutnya.
Akhir sekali, penelitian identiti perlu dibuat untuk setiap peserta yang menyertai pada sesuatu sesi Google Meet kerana si pengacau menggunakan alamat emel selain moe. Akan tetapi, ada juga sekelompok pengacau mempunyai emel berasaskan moe yang menyamar seperti pelajar pula.
Oleh itu, mereka yang terlibat boleh sediakan senarai maklumat setiap pelajar yang merangkumi nama dan emel untuk memudahkan pengesanan serangan pada masa kelak. Sementara itu, ibu bapa juga perlu cakna berkenaan isu ini dengan memantau setiap aktiviti anak-anak anda di peranti serta memastikan mereka mengikuti setiap sesi kelas yang ditetapkan sepanjang PdPR
Budaya Zoom Raid sememangnya perlu dicegah sebelum ia menjadi lebih parah. Malah, sebahagian pelajar yang benar-benar berminat untuk belajar turut terkesan ekoran daripada serangan-serangan yang dilakukan.
Selain itu, terdapat 6 aplikasi online meeting selain Google Meet yang anda boleh guna sepanjang PKP ini.
6 Aplikasi Online Meeting Selain Google Meet Yang Anda Boleh Guna Sepanjang PKP
Sesuai Bagi Tujuan PdPR, Ini Tablet Terbaik Pilihan Kami Di Bawah RM600