Menerusi pengenalan Apple Mac Studio, Apple juga sedia membawakan panel paparan sebagai pelengkapnya yang dinamakan Apple Studio Display. Dari nama sahaja, anda sudah boleh ketahui peranti ini khas dibuat untuk para profesional yang mahukan hasil kerja yang berkualiti tinggi serta sempurna.

Apple Studio menawarkan sejumlah kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh para profesional di dalam industri. Berikut merupakan spesifikasi paparan yang serba canggih yang ditawarkan oleh Apple pada kali ini.

Apple Studio Display

Sumber Gambar: Apple

Apple Studio Display hadir dengan rekaan ikonik dengan elemen Apple seperti sebelum ini yang mana menawarkan paparan sebesar 27-inci dengan resolusi 5K Retina termasuklah dengan pengoptimasian pewarnaan yang baik menerusi True Tone. Malah, panel paparan ini sendiri hadir dengan cip Apple A13 Bionic secara terbina untuk penawaran sistem kamera dan audio.

Seterusnya, paparan ini juga hadir dengan kamera ultra-lebar 12 megapiksel yang terbina untuk memudahkan panggilan video. Selain itu, ia juga menyertakan ciri Center Stage yang boleh menfokuskan kepada pengguna apabila mereka bergerak ketika panggilan video.

Sumber Gambar: Apple

Di samping itu, Apple turut menyertakan tiga mikrofon dan enam speaker secara terbina untuk menghasilkan kualiti audio bertaraf studio. Dari segi sambungan, Studio Display juga menyediakan sehingga tiga port USB-C.  Terdapat juga aksesori yang boleh dipadankan sebagai satu setup lengkap seperti Magic Keyboard, Magic Trackpad dan Magic Mouse.

Apple Studio Display ini sedia dijual pada pasaran tempatan pada harga bermula RM6,999 untuk kaca biasa, sementara kaca bertekstur nano ditawarkan pada harga bermula RM8,299.

Seperti kita sedia maklum, Apple akan menawarkan cip buatan mereka sepenuhnya buat semua produk menjelang tahun ini.

Apple Silicon Bakal Ditawarkan Sepenuhnya Buat Semua Produk Mac Menjelang Jun 2022

Apple Mungkin Tidak Lagi Memperkenalkan Model MacBook Air Selepas Ini

Sumber