Apple sangat menjaga privasi serta keselamatan para penggunanya dengan menawarkan beberapa ciri keselamatan menerusi barisan produknya. Boleh dikatakan setiap barangan Apple yang dimiliki oleh pengguna boleh dijejaki dengan mudah buat masa ini.

Menerusi laporan MacRumors, terdapat memo dalaman yang dihantar kepada pekerja Apple dan pembekal perkhidmatan yang sah yang mana melaporkan bahawa syarikat Apple kini akan menggunakan pangkalan data Pendaftaran Peranti GSMA untuk menyemak status iPhone atau mana-mana peranti berkaitan.

Sumber Gambar: Techspot

Jika sistem dalaman Apple menunjukkan bahawa peranti yang telah dilaporkan hilang, maka juruteknik mestilah menolak pembaikian peranti terbabit. Sebelum ini, Apple sudah mempunyai polisi untuk tidak menyediakan perkhidmatan pembaikian untuk peranti yang hilang atau dicuri namun anda perlu mengaktifkan ciri Find My terlebih dahulu.

Apple berhasrat dengan langkah ini dapat menghentikan iPhone yang dicuri daripada digantikan dengan yang baharu walaupun mereka tidak mengaktifkan ciri Find My. Tambahan pula, pangkalan data Pendaftaran Peranti GSMA akan menyukarkan pencuri berbuat demikian kerana syarikat mempunyai akses kepada data global untuk membuat semakan status sebenar.

Sumber Gambar: Safe Bridge Of Help

Namun begitu, Apple mungkin boleh menerima invois peranti anda sebagai bukti pembelian untuk membaiki atau menggantikan peranti anda sekiranya anda telah kehilangan akses kepada Apple ID anda. Anda juga diperlukan membawa satu bentuk pengenalan peribadi seperti lesen memandu, pasport atau ID yang dikeluarkan kerajaan.

Polisi baharu ini akan membantu memberikan mangsa telefon yang dicuri atau hilang lebih selesa kerana mengetahui bahawa peranti mereka tidak akan dijual atau digunakan semula. Hal ini kerana pihak Apple akan menyemak nombor unik IMEI pada sesebuah iPhone yang ingin dibaiki atau diganti baharu untuk mengenal pasti status sebenarnya.

Selain itu, Apple juga dijangka bakal menawarkan pelan langganan bulanan buat peranti iPhone dan iPad dalam menarik lebih ramai pengguna baharu.

Apple Dijangka Tawarkan Pelan Langgan Bulanan Buat Peranti iPhone Dan iPad

Apple Beri Respon Isu Bateri Yang Cepat Habis Ekoran Kemas Kini iOS 15.4

Sumber