Grab kini telah berkongsikan informasi berkaitan GrabMaps iaitu sebuah platform pemetaan yang dibangunkan sendiri oleh mereka. Platform ini bakal digunakan sepenuhnya pada perkhidmatan Grab pada suku ketiga tahun ini.
Grab menyatakan sistem pemetaan masa kini tidak dioptimasikan sepenuhnya untuk rantau Asia Tenggara. Seperti ketika ini, masih terdapat sejumlah kawasan yang tidak dipetakan malahan ada juga yang tidak disenaraikan langsung. Peta yang tersedia juga tida dioptimasikan untuk pengguna motosikal yang mempunyai laluan khas yang berasingan.
GrabMaps dilihat ingin mengatasi perkara berkenaan dan lebih dioptimasikan secara khusus buat pasaran Asia Tenggara. Grab telah pun sedia membangunkan pangkalan data tersendiri serta berkerjasama dengan komuniti OpenStreetMaps.
Grab sendiri telah menambah lebih 800,000 kilometer jalan di OpenStreetMap sehingga kini. Grab bersama ribuan pemandu dan penghantar makanan di atas jalan raya mampu menjana data secara langsung untuk membentuk pemetaan yang lebih baik.
Malah, Grab juga berkolaborasi dengan beberapa rakan kerjasama termasuklah pemilik perniagaan dan pemandu dalam mendapatkan data pemetaan seperti lokasi parkir, tempat ambil pelanggan dan sebagainya. Menariknya, Grab akan memberi ganjaran kepada para pemandu yang menyumbang sejumlah data untuk mengesahkan atau menambah lokasi baru.
Di bawah GrabMaps juga, ia menawarkan kiraan masa untuk tiba ke sesuatu destinasi, sokongan navigasi, sokongan trafik secara langsung dan mengetahui pelbagai lokasi menarik berhampiran.
Grab memaklumkan mereka bakal beralih menggunakan GrabMaps sepenuhnya pada platform mereka menjelang suku ketiga 2022 kelak. Langkah ini dijangka akan mengoptimasikan lagi kos operasi serta menawarkan informasi lebih tepat pada pemetaan.
Sebelum ini juga, Grab dilaporkan sudah berjaya mengambil alih sebuah penawar barang runcit premium di Malaysia.
Selepas Tersenarai Di NASDAQ, Grab Dilaporkan Berjaya Ambil Alih Jaya Grocer Holdings
Grab Raikan Detik Bersejarah Dengan Penyenaraian Syarikat Bernilai RM167 Bilion Di NASDAQ