Apple merupakan antara jenama yang mempunyai jumlah pengguna yang besar di seluruh dunia. Lambakan aksesori dan kabel pengecas buat peranti iPhone yang ditawarkan di dalam pasaran. Namun, pengguna perlu diingatkan terdapat pelbagai bahaya guna kabel iPhone tanpa MFI kepada peranti.

Menerusi perkongsian akaun TikTok @myjoe_official, beliau telah berkongsi lima bahaya guna kabel iPhone tanpa MFI terhadap peranti yang dipakai dalam jangka masa panjang. Sebelum itu, anda perlu mengetahui tentang Apple MFI Program yang direka khas bagi menjamin kualiti kabel pengecas yang dihasilkan oleh pihak ketiga menepati piawaian dan selamat digunakan.

Apple MFI Program

guna kabel iphone tanpa MFI
Sumber Gambar: Lifewire

Apple MFI Program merupakan program berlesen daripada syarikat Apple kepada pihak pengeluar aksesori dan perisian bagi memastikan setiap aksesori dan perisian yang dihasilkan bersesuaian pada peranti seperti iPhone, iPad dan iPod.

Maksud di sebalik MFI sendiri adalah “Made For iPhone/iPad/iPod”. Kesemua aksesori daripada pihak ketiga perlu melalui ujian oleh pihak Apple. Setelah melepasi ujian piawaian MFI ini, barulah mereka boleh menggunakan logo MFI pada kotak aksesori sebelum dipasarkan kepada umum.

Terdapat sejumlah jenama pihak ketiga yang sudah terkenal di kalangan pengguna dengan kualiti kabel pengecas iPhone yang ditawarkan serta harga berpatutan dan mempunyai kelulusan MFI sebagai contoh Ugreen, Anker, Aukey dan sebagainya.

1. Peranti akan rosak lebih cepat

guna kabel iphone tanpa mfi
Sumber Gambar: Dr.Fone

Secara asasnya, kabel pengecas tanpa MFI tidak mempunyai cip yang sepatutnya dalam mengawal arus yang melaluinya. Hal ini akan menyebabkan masalah haba yang berlebihan pada peranti tersebut yang boleh merosakkan U2 IC cip pengecasan peranti yang berfungsi untuk mengawal pengecasan bateri.

Akibat kegagalan IC cip pengecasan di bahagian port untuk berfungsi, peranti anda tidak akan boleh dicas lagi. Hal ini sekaligus menyebabkan peranti tidak boleh digunakan lagi dan bakal menelan kos yang banyak untuk mengantikan bahagian komponen tersebut.

2. Kabel pengecas yang mudah rosak

vocket-tech-kabel-4
Sumber Gambar: Global News

Kebiasaanya kabel pengecas iPhone yang murah atau tiruan diperbuat daripada bahan yang berkualiti rendah. Penggunaan bahan sebatian plastik gred rendah akan memberi kesan terutamanya di bahagian penyambung menyebabkan ia senang terkoyak dan terasa rapuh. Kabel tersebut juga dilihat lebih mudah rosak di dalam penggunaan jangka masa pendek.

Tambahan pula, kemasan yang ditampilkan kelihatan tidak rapi serta tiada ciri keselamatan kerana tiada pengawasan kualiti oleh pihak Apple sendiri. Kita sedia maklum Apple sangat menitik beratkan terhadap kualiti produk yang ditawarkan kepada pengguna bagi menjaga reputasi serta memberi kepuasan penggunaan.

3. Tidak mempunyai sokongan pada peranti

vocket-tech-kabel-8
Sumber Gambar: Minicreo

Setiap kabel yang dihasilkan perlu mendapatkan pengiktirafan MFI untuk memastikan ia boleh berfungsi pada peranti iPhone namun sebaliknya berlaku pada kabel yang tidak mempunyainya. Peranti iPhone hanya menyokong kabel atau aksesori yang telah disahkan atau kabel pengecas keluaran Apple sahaja.

Dan senario yang mungkin terjadi daripada penggunaan kabel tiruan atau berkualiti rendah adalah kadar pengecasan yang perlahan dan boleh menjurus masalah pada komponen dalaman pula. Menerusi kemas kini iOS 7 lagi, perisian ini sudah mampu mengesan kabel pengecas yang tidak asli dengan memaparkan notifikasi kegagalan sokongan kabel tersebut apabila disambungkan pada peranti.

4. Menghadapi masalah motherboard

vocket-tech-kabel-7
Sumber Gambar: Pcmag

Selalunya kabel yang tidak asli lebih mudah untuk menjadi panas. Apabila panas yang berlebihan terjadi, terdapat potensi boleh menyebabkan kerosakan kepada litar dan komponen sensitif dalaman peranti. Seperti yang kita tahu, kerosakan yang berlaku pada motherboard bakal menyebabkan peranti tidak boleh berfungsi secara keseluruhannya.

Lebih parah lagi, semua data dan gambar di dalam peranti tidak boleh diselamatkan lagi. Kos yang dikenakan untuk membaiki atau mengantikan motherboard pada peranti tersebut seperti umpama anda mendapatkan peranti yang baharu sahaja. Malahan, terdapat potensi fungsi FaceID untuk gagal berfungsi selepas proses pembaik pulihan tersebut.

5. Prestasi bateri akan menurun

guna kabel iphone tanpa mfi
Sumber Gambar: Medium

Di samping itu, kabel pengecas tanpa MFI lebih cenderung menghasilkan haba yang berlebihan kerana voltan dan arus yang dihasilkan tidak menepati kadar yang ditetapkan dan tidak konsisten. Masalah yang biasanya timbul sudah pasti kepada prestasi bateri yang akan menurun secara mendadak.

Dan secara tidak langsung, ianya bakal memendekkan jangka hayat bateri dan memberi kesan kepada penggunaan harian. Terdapat penurunan prestasi pengoperasian peranti oleh kerana bateri sudah tidak mampu menampung aktiviti dan aplikasi di mana ia memerlukan tenaga yang banyak untuk beroperasi dengan lancar.

@myjoe_store

Bahaya geng, sbb takut longtermnya rosakkan motherboard korang #TiktokGuru #LearnOnTiktok #JomBelajar #myjoestore #bospami

♬ original sound – myjoe_official – Myjoe Store

Konklusinya, kabel pengecas iPhone tanpa MFI hanya dihasilkan bagi memenuhi permintaan semasa sementara mengabaikan ciri keselamatan terhadap pengguna. Maka, sebaiknya anda mesti mendapatkan kabel pengecas yang dikeluarkan secara rasmi oleh Apple atau kabel alternatif MFI untuk memastikan ia boleh berfungsi dengan baik serta selamat digunakan pada peranti mereka tanpa memberi sebarang masalah kelak.

Ketahui juga sebab mengapa kabel pengecas iPhone yang dihasilkan Apple sendiri turut didapati mudah rosak.

Adakah Apple ‘Sengaja’ Hasilkan Kabel iPhone Yang Mudah Rosak?

Bagaimana Menjaga Battery Health iPhone Anda Supaya Tidak Cepat Turun

Sumber