Antara cara efektif untuk melajukan laptop atau komputer lama yang perlahan adalah menggantikan cakera keras dengan solid state drive (SSD). Jadi, ramai yang mahu membeli SSD untuk laptop atau komputer yang sedang digunakan.
SSD memang boleh menawarkan prestasi yang lebih baik malah boleh beroperasi tanpa mengeluarkan bunyik mekanikal seperti HDD. Namun, terdapat beberapa perkara penting yang anda perlu ketahui sebelum membeli SSD untuk laptop dan komputer yang sedang digunakan.
1. Saiz
Sebelum memperluaskan storan pada laptop atau sebarang peranti anda, salah satu perkara yang perlu dilihat sudah semestinya saiz fizikal yang disokong pada laptop atau peranti anda. Anda perlu memilih satu yang sekurang-kurangnya sebesar hard drive semasa anda dan disyorkan mendapatkan tidak kecil daripada 500GB.
Untuk makluman, komputer dekstop pada hari ini menyokong semua jenis storan sementara laptop pula hanya menyokong spesifik storan SSD M.2 dan beberapa model masih hadir dengan sokongan storan bersaiz 2.5-inci.
2. Prestasi
Dari segi prestasi, SSD menawarkan prestasi yang lebih pantas berbanding dengan cakera keras (HDD). Dengan SSD, sesebuah komputer boleh dihidupkan dalam masa singkat dalam masa yang sama sebarang perisian boleh dilancarkan serta-merta dan kepantasan mengalih fail sepantas 10 kali ganda berbanding HDD.
Dalam kata mudah, SSD yang murah masih mampu menyaingi HDD dari segi prestasi. Jika anda sangat menitik beratkan berkenaan kepantasan, SSD dilihat pilihan yang tepat. Seperti yang dijangka, SSD bakal ditawarkan pada harga yang lebih tinggi berdasarkan pilihan storan dan jenama yang ingin dibeli.
3. Jenama apa yang hendak dibeli
Terdapat beratus-ratus model SSD dari pelbagai jenama di pasaran. Memandangkan kerana pemacu ini akan menjadi ruangan simpanan semua maklumat penting di laptop atau komputer anda, maka anda disyorkan mendapatkan model yang berbaloi supaya boleh melancarkan seharian anda.
Antara jenama yang sedia menawarkan model SSD terbaik termasuklah Samsung, Kingston, Intel, Adata, Corsair dan banyak lagi. Seperti yang kita sedia maklum, dengan mendapatkan SSD berkualiti boleh menjamin jangka hayat penggunaannya yang lebih lama dan boleh beroperasi dengan cemerlang pada setiap masa.
4. Memilih sambungan antara PCIe atau SATA mengikut keperluan
Bergantung pada keperluan dan juga laptop dan komputer, anda perlu memilih SSD berdasarkan kepada sambungan berasaskan PCIe atau SATA. Secara dasarnya, PCIe menawarkan kelajuan pemindahan data yang lebih pantas berbanding SATA. Malah, pelbagai komputer sedia menyokong sambungan berasaskan SATA.
Dari segi harga pula, sambungan berasaskan SATA boleh didapati dengan lebih murah berbanding PCIe. Sekiranya anda inginkan prestasi yang lebih pantas dan berkuasa dan tidak risau akan harga yang dibelanjakan, SSD PCIE disyorkan sebagai pilihan terbaik buat anda. Harga PCIe pula dilihat sekali ganda atau lebih lagi berbanding SATA.
Diharapkan dengan pencerahan di atas dapat dijadikan panduan sebelum membeli SSD untuk laptop atau komputer yang sedang digunakan. Di samping itu, anda sekurang-kurangnya boleh membuat bajet terlebih dahulu untuk mendapatkan SSD yang bersesuaian dengn keperluan atau mendapatkan yang terbaik untuk prestasi yang padu.
Selain itu, anda juga perlu mengetahui langkah utama sekiranya laptop atau komputer terkena banjir.
7 Langkah Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Laptop Atau Komputer Terkena Banjir
Lelaki Ini Kongsi Cara Untuk Dapatkan Semula Fail Penting Daripada Laptop Yang Rosak