StockX Disaman Kerana Hasilkan NFT ‘Sneakers’ Nike Tanpa Kebenaran

Nike sememangnya sangat terkenal di dunia dengan mendominasi arena kasut sukan sejak sekian lama. Sekiranya anda mahu menggunakan tanda dagangan tersebut, sudah pasti memerlukan jumlah kos yang tinggi untuk mendapatkan lesen sah daripada syarikat gergasi tersebut.

Namun dilaporkan baru-baru ini sebuah laman pasaran gergasi dalam talian iaitu StockX telah disaman oleh pihak Nike kerana menggunakan tanda dagangannya tanpa kebenaran untuk memasarkan dan menjual koleksi NFT kasut tersebut pada harga tinggi. Malah, para pelanggan juga telah dikaburi kerana penggunaan nama syarikat gergasi tersebut.

Sumber Gambar: Complex

Dalam aduan persekutuan, Nike mengatakan tidak meluluskan atau membenarkan Vault NFT yang dicipta oleh StockX menggunakan penjenamaan syarikat mereka. Hali ini kerana produk yang tidak sah itu berkemungkinan akan mengelirukan pengguna dan mewujudkan persepsi yang mereka berkait antara satu sama lain.

Tuntutan Nike sering menyuarakan kritikan terhadap program StockX NFT lebih-lebih lagi selepas penampilan sulungnya pada awal Januari tahun ini. Perkara lain antara yang diutarakan oleh Nike juga adalah penawaran harga NFT sneaker yang berlipat kali ganda  berbanding harga sebenar yang dijual secara komersial di dunia sebenar.

Ditambah pula ramai pengguna media sosial yang turut keliru akan status sebenar sama ada StockX memang berkolaborasi dengan Nike atau sebaliknya. Aduan yang difailkan  oleh Nike menggambarkan NFT sebagai sebahagian daripada masa depan perdagangan yang mana berkait rapat dengan pelancaran produk maya mereka tidak lama lagi.

Nike menambah lagi ini juga merupakan amaran kepada jenama lain bahawa teknologi yang berkembang pesat terdedah kepada sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan daripada harta intelek yang bukan milik mereka. Terkini, Nike sudah melabur besar ke dalam dunia meta dan menubuhkan bahagian baharu yang dinamakan Nike Virtual Studios.

Difahamkan dengan kerjasama Nike dan studio pembuat koleksi fesyen maya, RTFKT bakal membawakan sejumlah kasut dan pakaian  maya berasaskan NFT yang dijangka sedia dijual pada bulan Februari ini. Selain itu, para pemilik NFT juga berpeluang menikmati akses eksklusif ke pelancaran produk baharu serta pelbagai kelebihan lain.

Sehubungan itu, Nike meminta pihak StockX untuk menghentikan penjualan dan promosi NFT yang tertera nama Nike serta memusnahkan kesemua NFT yang ditawarkan dan membayar ganti rugi yang dialami oleh Nike akibat tindakan tidak berintegriti tersebut.

Sementara itu, BAPE selaku jenama streetwear terkemuka juga sudah menyertai dunia meta dengan pelancaran projek NFT terbaharu mereka.

BAPE Sertai Dunia Meta Secara Rasmi Dengan Pelancaran Projek NFT (B)APETAVERSE

adidas Secara Rasminya Sertai Dunia Meta Dengan Melancarkan Koleksi NFT Pertama

Sumber
Exit mobile version