Samsung baru sahaja melancarkan dua peranti dengan skrin boleh-lipat baharu mereka iaitu Galaxy Z Fold4 dan Galaxy Z Flip4. Menerusi generasi baharu ini, Samsung membawakan sedikit perubahan menjadikannya lebih menarik untuk digunakan.
Kedua-dua model ini telah dikemas kini dengan beberapa ciri menarik termasuklah spesifikasi terkini yang pasti boleh menarik pengguna baharu menerusinya. Mari kita melihat penawaran Galaxy Z Fold4 dan Galaxy Z Flip4 dengan lebih terperinci.
Galaxy Z Fold4
Galaxy Z Fold4 hadir dengan skrin berukuran 7.6-inci panel Infinity Flex Dynamic OLED2x dengan resolusi QXGA+ serta menyokong adaptive refresh rate 120Hz. Bagi skrin luaran atau dinamakan sebagai Cover screen, ia hadir dengan 6.2-inci panel Dynamic OLED 2X dengan resolusiĀ HD+.
Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan memori 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB. Bateri peranti bagaimanapun masih sama denganĀ Z Fold3 iaitu 4,400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W Super Fast Charging.
Untuk bahagian kamera pula, peranti ini hadir dengan tetapan tri-lensa yang terdiri daripada 50MP utama+12MP sudut lebar+ 10MP telefoto. Terdapat dua kamera swafoto dengan satu di bahagian dalam paparan utama bersama sensor 4MP dan satu di bahagian luar menggunakan sensor 10MP.
Peranti ini turut masih menyokong stilus S-Pen Fold Edition yang mana perlu disimpan dalam satu kerangka khas yang berasingan. Samsung juga turut menggunakan perlindungan air IPX8 pada peranti ini dan masih hadir dengan pengimbas cap jari di sisi menerusi butang kuasa.
Harga jualan peranti ini untuk pasaran Malaysia bermula dengan RM6,799 untuk 12/256GB, RM7,299 untuk 12/512GB dan RM8,299 untuk 12/1TB. Anda bakal ditawarkan dengan pilihan warna Graygreen, Beige, Phantom Black dan Burgundy.
Galaxy Z Flip4
Peranti ini menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan teknologi Infinity Flex bersaiz 6.7-inci bersama resolusi FHD+ yang menyokong adaptive refresh rate 120Hz. Rekaan bezel juga lebih nipis untuk penggunaan skrin yang lebih imersif. Skrin di luar pula adalah 1.9-inci Super Amoled Display.
Z Flip 4 turut dijana dengan cip pemprosesan Android paling berkuasa ketika ini iaitu Snapdragon 8+ Gen1 serta dipadankan memori 8GB RAM bersama pilihan storan dalaman mencecah 512GB. Bateri juga lebih besar dengan kapasiti 3,700mAh dan menariknya kini menyokong pengecasan pantas 25W Super Fast Charging.
Kamera peranti masih lagi menggunakan konfigurasi dwi-kamera iaitu 12MP utama+12MP sudut lebar. Dengan penggunaan cip Snapdragon terkini, ia menjanjikan kualiti yang lebih baik dengan hasil 65% lebih terang Kamera swafoto pula dimuatkan dengan sensor kamera 10MP.
Perlindungan air IPX8 juga masih disertakan namun tiada lagi sokongan untuk stilus S-Pen. Untuk ciri sekuriti, peranti ini masih kekal dengan pengimbas cap jari pada sisi menerusi butang kuasa. Selain mempunyai rekaan yang kompak, ia tampak lebih rata secara keseluruhan menjadikan peranti ini lebih estetik.
Bercakap tentang harga, peranti ini sedia ditawarkan dengan harga bermula RM4,099 untuk 8/128GB, RM4,399 untuk 8/256GB dan RM4,899 untuk 8/512GB. Samsung Malaysia bakal menawarkan pilihan warna Bora Purple, Pink, Gold, Graphite dan Blue.
Anda sudah boleh membuat pra-tempahan bermula hari ini sehingga 1 September 2022. Dengan pra-tempahan awal, anda berpeluang menerima baucar, kerangka khas, perlindungan Samsung Care+ selama setahun jaminan dan perlindungan skrin.
Ikuti juga berita menarik tentang kejayaan pasukan e-sukan Malaysia yang berjaya meraih tiga pingat emas buat negara.
Hampir Tidak Dapat Terbang Ke Sukan Komanwel, Pasukan e-Sukan Hadiahkan 3 Pingat Emas Buat Malaysia
Elon Musk Dalam Usaha Untuk Perlihatkan Robot Berbentuk Manusia Seawal September Ini