Lelaki Ini Bongkar Rahsia Rekaan Kotak iPhone Yang Mampu Buatkan Para Pembeli Teruja

Jenama Apple sudah melekat di setiap kepala peminat teknologi di mana mereka sangat menitik beratkan semua aspek pada produk yang ditawarkan adalah berkualiti tinggi dengan ciri mesra pengguna. Tahukah anda terdapat rahsia rekaan kotak iPhone yang mampu membuatkan ia terasa istimewa apabila dibuka oleh pengguna?

Menerusi perkongsian bebenang akaun Twitter @ThrungTPhan, beliau telah merungkai bagaimana Apple memastikan rekaan kotak iPhone menjanjikan suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu dibuka pertama kalinya.

Antara intipati berkaitan hubungan psikologi manusia bersama rekaan kotak iPhone ini adalah Steve Jobs telah mengumumkan bahawa Apple telah mematenkan lebih daripada 200 paten untuk peranti iPhone pertamanya menerusi pembentangan pada tahun 2007. Dan antara paten yang disenaraikan termasuklah rekaan kotak iPhone itu sendiri.

Idea di sebalik rekaan kotak iPhone pada hari ini terhasil oleh disebabkan dua individu penting iaitu Steve Jobs dan John Ive. John Ive selaku pereka produk telah berkongsi bagaimana beliau dan Steve Jobs sendiri telah meluangkan banyak masa terhadap rekaan kotak iPhone dengan memastikan proses membukanya menjadi satu pengalaman yang istimewa buat pengguna.

Sumber Gambar: Twitter

Menariknya, Apple telah menghabiskan 1,000 jam untuk mencapai kesempurnaan pada pakej tersebut. Malah, mereka menyediakan sebuah bilik pembungkusan khusus di mana pekerja akan meluangkan masa selama berbulan-bulan dengan mencuba lebih daripada 100 prototaip pakej daripada pelbagai bahan dan bentuk untuk memberikan impak kepada pengalaman membukanya.

Kesempurnaan rekaaan kotak iPhone yang dimaksudkan oleh Apple adalah memastikan pengguna merasa teruja untuk menyertai saat membuka kotak iPhone yang baru dibeli itu. Kotak iPhone ini menampilkan ciri premium bersamanya dengan daya geseran yang betul apabila ditarik dapat mencipta suatu masa pendek seakan terhenti sewaktu dibuka yang menarik perhatian umum.

Sumber Gambar: Twitter

Antara alasan mengapa video-video unboxing di Youtube menerima jumlah tontonan yang banyak disebabkan oleh psikologi manusia yang mempunyai sifat ingin tahu yang lebih mendalam. Keperluan psikologi kita yang menginginkan informasi yang lebih lanjut berkenaan suatu subjek daripada apa yang diketahui sebelum ini.

Apple juga sangat bijak dalam menggunakan kesemua deria seseorang apabila mereka membuka kotak iPhone tersebut. Anda boleh melihat kotak iPhone tersebut lalu merasai pula geseran yang dihasilkan apabila ditarik dan mendengar bunyi angin yang keluar apabila selesai dibuka. Keseluruhan proses ini telah mencipta kesan ingatan yang kuat pada produk mereka.

Difahamkan pihak Apple telah memastikan setiap langkah pembukaannya menjadi satu ‘ritual’ yang seragam untuk semua. Bermula dengan menarik plastik daripada bungkusan, kemudian merasai pengalaman membuka kotak itu, lalu menarik pelindung skrin dan meneliti kabel wayar atau fon telinga yang diberi. Selepas semua itu siap barulah pengguna menghidupkan iPhone tersebut.

Bukan itu sahaja, rahsia rekaan kotak iPhone juga memainkan peranan penting untuk memberikan pandangan pertama yang baik terhadap sesuatu produk apabila dilihat oleh umum. Orang ramai pasti terfikir betapa baik produk Apple walaupun dengan hanya melihat rekaan bungkusan produk yang cukup premium itu secara tidak langsung.

Sumber Gambar: Twitter

Secara dasarnya, bungkusan Apple mempunyai pemahaman yang jelas tentang psikologi manusia dan bagaimana cara seseorang membeli-belah. Rekaan bungkusannya telah dilengkapi dengan maklumat yang lengkap untuk mudah difahami dan menarik dipandang termasuklah penggunaan gambar yang baik dengan saiz seperti di dunia sebenar dan minimalis.

Menerusi aplikasi paten bungkusan iPod yang dibuat sebelum ini, Apple telah mengatakan sesebuah pakej produk yang berteknologi tinggi perlulah mempunyai ciri rekaan yang bersesuaian dengan jangkaan pengguna.

Sumber Gambar: Twitter

Pembungkusan Apple telah mencapai pada tahap baharu berbanding produk teknologi yang lain kerana terdapat sekelompok pengguna yang mengumpul kotak iPhone dan produk Apple yang lain. Perkara ini dikira tidak menghairankan kerana kotak iPhone yang ditawarkan sememangnya telah direka dengan baik oleh pasukan rekaan Apple.

Produk Apple telah menjadi fenomena di seluruh dunia setiap kali ia diperkenalkan kepada umum pada saban tahun. Disebabkan pelbagai aspek yang dititik beratkan telah menjadikan produk Apple kelihatan sempurna dan menjadi ikutan oleh syarikat gergasi teknologi lain secara tidak langsung.

Selain itu, Apple yang sering kali diperli dengan inovasinya turut menjadi ikutan syarikat gergasi teknologi lain seperti ketiadaan penyertaan cas dan sebagainya.

Selepas Perli Apple, Samsung Dilihat Kembali Menawarkan Takuk Pada Galaxy Tab S8 Ultra

Apple Dijangka Lancarkan iMac Generasi Baharu Dengan Rekaan Skrin Bertakuk

Terima Permintaan Tinggi, Kain Lap Apple Dijangka Bakal Diterima Pengguna Seawal Tahun Hadapan

Sumber
Exit mobile version