Wahed Invest merupakan sebuah perkhidmatan pelaburan dalam talian yang dipercayai oleh para pengguna di dunia pada hari ini. Malah, mereka sedia menawarkan sebuah pilihan alternatif pelaburan berlandaskan syariat Islam buat pelabur yang mahukan pelaburan yang datang dari sumber yang telus.

Terbaharu, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC)  hari ini telah mendakwa syarikat Wahed yang berpengkalan di New York kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan pelanggan serta gagal untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan SEC.

Sumber Gambar: SUSTG.com

Menurut SEC, sejak September 2018 sehingga Julai 2019, Wahed Invest telah mengiklankan kewujudan dana proprietarinya sendiri namun ia sebenarnya tidak wujud sama sekali. Malah, mereka berjanji kepada pelabur bahawa akan mengimbangi semula akaun para pelabur secara berkala tetapi tidak berbuat demikian.

Selanjutnya daripada laporan SEC juga mendapati bahawa Wahed Invest telah melancarkan dana dagangan bursa (ETF) proprietari pada Julai 2019. Mereka telah menggunakan aset penasihat pelanggannya untuk membuat dagangan ETF tanpa pendedahan terlebih dahulu kepada pelanggan tentang sebarang risiko yang dihadapi.

Dalam pada itu, Wahed Invest juga telah memasarkan identitinya sebagai penyedia perkhidmatan nasihat berlandaskan undang-undang Islam atau syariah termasuklah menekankan kepentingan proses pembersihan pendapatannya di laman web mereka.

Namun begitu, pihak SEC menyatakan bahawa dalam tempoh tersebut Wahed Invest turut melabur ekuiti yang tidak diiktiraf patuh syariah seperti yang diuar-uarkan oleh mereka sebelum ini.

Seperti penasihat lain, mereka mesti memastikan bahan pemasaran mereka tidak mengelirukan dan konflik yang berlaku perlu didedahkan kepada pelabur. Penasihat pelaburan berdaftar seperti Wahed Invest juga mesti mengguna pakai serta melaksanakan polisi dan prosedur bertulis yang telah dibuat untuk menjadi panduan penasihat sewaktu membuat pelaburan untuk pesertanya.

Wahed Invest juga akur dengan dakwaan yang dibuat oleh SEC mengenai pelanggaran undang-undang berkaitan perkhidmatan nasihat pelaburan yang ditetapkan dan bersetuju membayar penalti sebanyak $300,000 (~RM1.25 juta).

Isu yang berlaku turut mendapat Wahed Malaysia yang memaklumkan pihak mereka mempunyai penasihat syariah mereka tersendiri dalam memastikan segala portfolio dan proses pelaburan yang dilakukan pelanggan di Malaysia memetahui prinsip-prinsip Syariah sekaligus tidak terlibat sama sekali dengan pelaburan Wahed di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, perlu diingatkan kejadian ini telahpun berlaku pada fasa awal penubuhan Wahed Invest. Sama-sama kita nantikan kenyataan rasmi yang bakal dibuat oleh pihak Wahed Invest sendiri mengenai isu tersebut.

Sebelum ini juga, platform perkhidmatan pelaburan Binance dilaporkan sudah tidak boleh diakses lagi oleh pengguna tempatan kerana tidak mendapatkan lesen dagangan sah.

Suruhanjaya Sekuriti Mengarahkan Binance Menutup Akses Platform Laman Web Dan Aplikasi Di Malaysia

Selepas Terima Amaran Oleh SC, Aplikasi Binance Sudah Tidak Lagi Ditawarkan Di App Store

Sumber