Hampir setahun hadir dengan pelbagai ura-ura, akhirnya hari yang dinantikan peminat teknologi serta Apple telah tiba. Seperti yang dijangka, atur cara khas Apple pada kali ini diadakan sempena pelancaran rasmi siri iPhone 13.

Tahun ini menyaksikan Apple meneruskan trend yang sama seperti tahun lalu dengan melancarkan empat model iPhone secara serentak. Berikut merupakan perubahan yang ditawarkan pada siri iPhone 13 pada kali ini.

iPhone 13 dan 13 mini

Apple pada tahun ini masih lagi mengekalkan saiz skrin yang sama buat iPhone 13 dan iPhone 13 mini seperti siri iPhone 12 pada tahun lalu di mana masing-masing hadir dengan saiz 6.1-inci dan 5.4-inci. Walau bagaimanapun, Apple menjanjikan skrin yang lebih terang dan jelas menerusi penggunaan paparan OLED dengan teknologi Super Retina XDR.

Menerusi model pada kali ini, Apple menawarkan takuk yang lebih kecil dalam menawarkan paparan yang lebih banyak pada skrin. Kesemua siri iPhone 13 hadir dengan processor Apple A15 Bionic yang menjanjikan kuasa pemprosesan CPU 50% dan 30% GPU lebih pantas berbanding pesaing.


iPhone 13 pada kali ini hadir dengan sokongan Sensor-Shift dalam menawarkan gambar yang lebih jelas meskipun diambil pada waktu malam serta keadaan yang gelap.

Apple juga turut memperkenalkan Cinematic Mode di mana para pengguna berpeluang merakam video seakan filem. Setiap rakaman berpeluang diubah suai dari segi fokus manakala penstabilan rakaman juga turut dipertingkatkan.

Apple iPhone 13 dan iPhone 13 mini sedia ditawarkan dengan beberapa pilihan warna terdiri daripada Pink, Blue, Midnight, Starlight dan Product (RED).

iPhone 13 Pro dan Pro Max

Selain iPhone 13, Apple pada kali ini turut melancarkan model versi Pro yang hadir dengan dua saiz berbeza iaitu 6.1-inci dan 6.7-inci. Penawaran saiz skrin 6.7-inci pada Apple iPhone 13 Pro Max telah menjadikan model ini sebagai iPhone terbaik dalam sejarah.

Sebuah lagi ciri yang dinantikan pengguna iaitu refresh rate 120Hz nampaknya berjaya ditawarkan pada iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max menerusi teknologi ProMotion. Apple memaklumkan dua model ini dihasilkan menggunakan material premium iaitu Ceramic Shield dan aluminium dalam membuatkan peranti lebih tahan lasak dan premium.

Dari segi kamera, model ini masih lagi mengekalkan penawaran tiga kamera dengan sensor LiDAR. Selain itu, model ini turut menyokong rakaman video 4K HDR, Apple ProRes dan juga Dolby Vision HDR.

Mengulas dari segi bateri, iPhone 13 Pro dilaporkan mempunyai ketahanan bateri 1.5 jam lebih panjang iPhone 12 Pro manakala iPhone 13 Pro Max mempunyai ketahanan bateri 2.5 jam lebih panjang berbanding iPhone 12 Pro Max

Penawaran ruang storan sehingga 1TB

Model Pro pada iPhone pada kali ini turut ditawarkan dengan sokongan ruang storan sehingga 1TB dalam membolehkan pengguna menyimpan pelbagai data menerusi sebuah iPhone sahaja. Model iPhone 13 Pro Max 1TB sedia ditawarkan pada harga RM7,599.

Harga

Mengulas dari segi harga, Apple menyatakan harga yang sama bakal ditawarkan pada siri iPhone 13 menggantikan siri iPhone 12 pada tahun lalu di mana siri iPhone 13 ditawarkan pada harga RM3,399 sehingga RM7,599.

Sebanyak empat warna ditawarkan buat iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max iaitu Sierra Blue, Gold, Silver dan Graphite. Adakah anda sanggup untuk berbelanja besar dalam mendapatkan siri iPhone terbaik di pasaran ini?

Ketahui juga perubahan terbaru yang diumumkan Apple menerusi Apple Event bagi produk iPad, iPad mini dan Apple Watch Series 7.

Apple Umumkan Barisan Model Terbaharu iPad Dan Apple Watch Series 7

Lelaki Ini Kongsi 6 Faktor Penting Yang Membuatkan MacBook Pro Pelaburan Yang Berbaloi