Walaupun ramai pengguna pada hari ini lebih menggemari akan telefon pintar yang mempunyai skrin besar, masih terdapat segelintir kelompok yang mahukan rekaan yang kompak. Hal ini kerana ia lebih mudah untuk dikendalikan serta sedap digengam pada tangan bagi kegunaan seharian.
Menerusi laporan terbaharu MyDrivers, pengeluaran percubaan iPhone SE generasi ketiga bakal bermula dalam masa terdekat ini. Difahamkan rangkaian pembekal komponen sudah mula bersiap sedia dalam penghasilan model iPhone SE 2022 itu.
Mengikut jadual perancangan yang telah ditetapkan, iPhone SE 3 dijangka sedia membuat pelancaran sekitar suku pertama tahun hadapan iaitu selewat-lewatnya pada penghujung Mac 2022 kelak. Saiz skrin dikatakan kekal pada ukuran 4.7-inci dari Retina HD LCD yang disertakan butang Home bersama fungsi Touch ID.
Dalam erti kata lain, tiada ciri Face ID pada peranti model ini kerana Apple nampaknya lebih berminat untuk menawarkan ciri tersebut pada barisan flagship sahaja. Terdapat jangkaan berbagai penambah baikan yang dibuat termasuklah penggunaan cip A15 Bionic serta kemampuan fotografi yang dipertingkatkan dan jumlah memori sebanyak 3GB RAM antara yang ditawarkan.
Seperti yang kita sedia maklum, pihak Apple sudah mahu menamatkan pengeluaran versi Mini yang bersaiz 5.4-inci yang mana segmen tersebut bakal digantikan oleh iPhone SE. Dari segi harga, ia dijangka masih ditawarkan pada harga yang sama seperti sebelumnya dengan perbezaan dari segi kapasiti storan dalaman sahaja.
iPhone SE 2022 ini juga berpeluang menerima sokongan 5G untuk memberi pengalaman akses internet pantas kepada penggunanya.
Apple Bakal Memperkenalkan iPhone SE Baharu Dengan Sokongan 5G Pada 2022
8 Model iPhone Yang Menyokong Rangkaian Internet 5G Setakat Ini