Perkataan NFT sememangnya sering disebut-sebut pada hari ini sehingga dinobatkan sebagai Word Of The Year pada tahun lalu. Namun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui fungsi sebenar aset digital ini. Tahukah anda sebenarnya terdapat berbagai jenis NFT yang sedia ditawarkan di dalam pasaran semasa?
Menerusi perkongsian akaun Facebook @Radzi Tajuddin, beliau telah menerangkan terdapat sekurang-kurangnya enam jenis NFT yang boleh didapati di dalam pasaran hari ini. Setiap jenis ini pula mengandungi matlamat tersendiri dengan mengintegrasikan rantaian blok padanya.
1. Flex
Pertama sekali, flex merujuk kepada NFT yang paling hype di mana karya digital ini sering menjadi tajuk utama di dalam artikel serta menduduki tangga teratas di dalam carta dunia. Malah, kewujudan NFT ini adalah untuk melambangkan status seseorang dan sering digunakan sebagai profile photo di laman sosial peribadi.
Dalam erti kata lain, karya digital ini hanya dijual beli untuk show off di kalangan berduit sahaja. Antara NFT yang kebiasaannya menjadi tarikan utama atau didagangkan pada harga tinggi adalah BAYC, Cryptopunk, Mekaverse, Pudgy Penguins, Konfederasi, RCN dan banyak lagi.
2. Pass
Selain untuk menjadi status kekayaan, NFT juga boleh berfungsi sebagai passport digital yang mana sedia memberikan akses kepada konten eksklusif buat pemiliknya. Ini termasuklah karya edisi terhad yang hanya boleh didapatkan oleh pemilik dan boleh jadi juga aktiviti atau acara besar yang diadakan secara dalam talian dan di dunia sebenar.
Sebagai contohnya, pemilik NFT Gary Vee yang dikenali sebagai ‘VeeFriends’ yang bakal menerima akses ke restoran sushi khas bersama pelbagai kelebihan menerusinya, berjumpa Gary Vee secara peribadi dan hadiri forum berkaitan bisnes yang diadakan oleh beliau. Hal ini menjadikan sesetengah NFT sangat berbaloi untuk didapatkan walaupun agak mahal.
3. Game
Sementara itu, terdapat juga sesetengah NFT yang dibina khas untuk menjadi sebahagian ciri dari permainan yang dikenali sebagai play to earn atau p2e. Dengan memiliki NFT game, anda dapat menggunakan NFT tersebut untuk bermain permainan di platform khas dan diberikan ganjaran dalam bentuk coin atau token yang boleh ditukar menjadi wang atau kredit.
Antara tajuk p2e yang terkenal adalah Axie Infinity, Titan Arena, God Unchained dan sebagainya. Sebelum anda boleh bermain, kebiasaanya anda perlu membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkan karakter atau barangan digital dan kemudian barulah boleh menikmati konten permainan bersama ganjaran istimewa yang disediakan.
4. Art Collection
Seperti karya agung seni konvensional, NFT turut wujud dalam bentuk seni digital. Dalam dunia rantaian blok ini, seni digital ini hanya ditawarkan dalam unit yang terhad dan dicipta oleh artis terkenal dan nilainya bakal meningkat pada saban hari. Menariknya, setiap karya digital ini mempunyai sijil pengesahan untuk memastikan keasliannya apabila didagangkan.
NFT ini boleh didatangkan dalam pelbagai rupa termasuklah lukisan, gambar, video termasuk filem, bunyi seperti muzik, lagu dan apa-apa sahaja seni yang berbentuk digital. Contah seperti Fidenza by Tyler Hobbs, Time NFT, Boonji Project dan karya Rusuk Emas Sue Anna Joe.
5. Staking
Selain disimpan sebagai untuk pelaburan, sesetengah jenis NFT juga boleh digunakan untuk ‘stake’ bagi mendapatkan ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh platform tertentu. Setelah NFT tersebut dibeli, ia boleh di stake semua untuk mendapatkan hasil dalam bentuk token. Token ini pula boleh diniagakan atau ditukarkan kepada bentuk kredit pula.
Ganjaran ini boleh diterima sama ada seharian atau mingguan yang diberikan kepada pemilik karya digital tersebut. Sebagai contoh, NFT Onesuss yang memberikan token $VOID bagi mereka yang menyimpan dan stake NFT mereka.
6. Land
Seperti di dunia sebenar, para pemain NFT juga dilihat melakukan urusan jual beli hartanah digital dalam bentuk NFT. Fenomena ini meletup selepas syarikat Meta menyatakan keinginan mereka untuk melancarkan metaverse pada masa kelak iaitu sebuah dunia maya yang membolehkan orang ramai berinteraksi serta membuat urusan kehidupan.
Maka, terdapat beberapa NFT Land yang makin meningkat popularitinya seperti Sandbox dan Decentraland. Dunia maya ini membawakan ciri NFT pada objek yang dibangunkan oleh para pemain lalu boleh dijual beli pada platform dagangan di luar sana. Malah, direkodkan terdapat peningkatan nilai token serta permintaan dunia maya ini pada tahun lalu.
Semoga dengan penerangan ini dapat memberikan informasi kepada lebih ramai orang untuk memahami maksud NFT dan cara ia berfungsi. NFT bukanlah sekadar lukisan digital yang tidak mempunyai sebarang nilai seperti yang dianggap sebelum ini. Banyak lagi potensi dunia NFT yang sedang diterokai oleh syarikat terkemuka di luar sana.
Pada tahun lalu, jualan tanah di dunia meta sudah mencapai RM423 juta di dalam tempoh seminggu sahaja.
Dalam Tempoh Seminggu Sahaja, Jualan Tanah Di Metaverse Berjaya Mencapai RM423 Juta
Populariti Metaverse Berjaya Dorong Token NFT Meningkat Sehingga 42% Sejak Bulan Lalu