Oppo Perkenalkan Teknologi 240W SuperVOOC, Pengecasan Penuh Peranti Sepantas 9 Minit

Oppo merupakan antara jenama yang sering menawarkan pengecasan paling pantas untuk perantinya. Semua ini bermula pada enam tahun lalu lagi, jenama Oppo sudah memperkenalkan teknologi SuperVOOC versi pertamanya yang mampu mengecas penuh bateri 2,500 mAh dalam 15 minit sahaja.

Pada acara MWC kali ini, Oppo mendakwa telah mencipta rekod pengecasan pantas baharu dengan teknologi pengecasan kilat 240W SuperVOOC baharunya. Teknologi pengecasan pantas baharu ini boleh mengecas telefon pintar sepenuhnya daripada 0 ke 100% dalam 9 minit sahaja.

Sumber Gambar: Oppo

Menurut Oppo, mereka telah membangunkan teknologi pengecasan pantas serba canggih ini berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian pengecasan berkecekapan tinggi dalam era rangkaian 5G. Selain itu, ia mendakwa bahawa 240W SuperVOOC boleh mengecas bateri 4,500mAh dalam 9 minit menerusi output jenisUSB-C.

Tanpa berkongsi butiran teknikal lanjut, Oppo berkata teknologi pengecasannya mematuhi spesifikasi peranti sedia ada dan telah diuji untuk pelesapan haba untuk memastikan kecekapan optimum dan keselamatan dipertingkatkan.Tambahnya lagi, penarafan nyahcas utama bateri akan membolehkan peranti menyokong kadar pengecasan maksimum 240W.

Untuk meminimumkan sebarang potensi bahaya dan risiko keselamatan, teknologi pengecasan baharu ini menggunakan lima langkah perlindungan keselamatan bersama cip kawalan tersuai yang menguruskan voltan, arus dan suhu untuk penyelesaian pengecasan yang selamat.

Buat masa ini teknologi ini masih dalam fasa prototaip dan masih berusaha untuk meningkatkan jangka hayat bateri dan ketumpatan tenaga untuk teknologi pengecasan mereka. Oleh itu, kita masih belum mengetahui bila ia bakal ditawarkan secara komersial di dalam pasaran kelak.

Selain Oppo, Xiaomi juga sedia memperkenalkan teknologi pengecasan pantas 200W yang boleh mengecas penuh peranti dalam 8 minit sahaja.

Xiaomi Perkenalkan Teknologi Pengecasan 200W Bolehkan Cas Penuh Peranti Sepantas 8 Minit

Huawei Dijangka Bakal Menawarkan Pengecasan Pantas Sehingga 200W

Sumber
Exit mobile version