Karakter animasi TV terkenal pada suatu ketika dahulu iaitu Keluang Man masih segar di dalam ingatan para peminatnya sehingga ke hari ini. Mengikuti perkembangan teknologi semasa, kini Keluang Man pula bakal mempunyai koleksi NFT tersendiri.
Terbaharu, Keluang Man bakal diterjemahkan dalam bentuk NFT dalam masa terdekat ini. Difahamkan koleksi edisi NFT watak siri animasi Keluang Man dijangka akan mengubati kerinduan peminat.
Bagi menjayakan koleksi edisi NFT Keluang Man, terdapat kerjasama tiga pihak melibatkan Iconic, Iz Digital Network Sdn. Bhd (IZDN) dan Kelab Keluang Man. Iconic berpendapat NFT merupakan satu medium teknologi yang amat berkesan dalam memasarkan Keluang Man di seluruh negara.
Sementara IZDN bakal bertindak sebagai rakan kerjasama yang menyediakan dan menguruskan platform NFT tersebut. Selain itu, mereka juga akan memasarkan NFT Keluang Man yang dihasilkan oleh para karyawan Iconic Animation Studio Radio dengan kerjasama Karyawan Kelab Peminat Keluang Man.
IZDN juga percaya dengan adanya medium teknologi NFT juga dapat memasarkan hasil kreatif mereka secara meluas ke seluruh negara serta boleh menjaga keselamatan dan ketulenan setiap aset karya kreatif yang dihasilkan oleh mereka yang terlibat di dalam projek tersebut.
Kerjasama ketiga-tiga pihak ini juga dijangkakan bakal menjadi langkah permulaan yang besar kepada hasil karya industri animasi negara. Malah, Keluang Man bakal melakar sejarah kejayaan yang tersendiri dengan penghasilan Koleksi Edisi NFT itu.
Sebelum ini, karya Ujang menjadi antara yang terlaris di platform dagangan NFT tempatan sehingga berjaya meraih RM58,604 hasil jualan.
Berjaya Raih RM58,604 Hasil Jualan, Karya Ujang Antara Yang Terlaris Di Platform Pentas