Penggunaan laptop telah menjadi satu perkara yang wajib terutamanya bagi mereka yang berkerja dari rumah. Pemilihan laptop yang tepat menjanjikan pengalaman penggunaan yang baik serta boleh diguna pada jangka masa panjang. Antara pilihan laptop yang terbaik yang biasanya digunakan untuk tujuan perkerjaan adalah MacBook Pro.
Menerusi ciapan yang dibuat oleh akaun @omarque, beliau telah berkongsi enam faktor penting di dalam pemilihan MacBook Pro yang perlu dipertimbangkan bagi tujuan pekerjaan. Laptop ini cukup berkuasa untuk menjalankan segala aktiviti di mana sangat sesuai buat pembangun perisian, pereka dan pencipta konten.
Orang kata beli Macbook ni baziaq. Tapi sebenarnya ia tidak membazir untuk certain orang.
Ini thread panjang kenapa Macbook Pro adalah sebuah laptop yang paling pawer untuk software developer, designer and content creator. pic.twitter.com/IyljRA47BI
— Omar Mokhtar 🇲🇾 (@omarqe) March 29, 2019
1. Reka bentuk dan praktikaliti
Buat para pengguna yang sering menggunakan laptop untuk tugasan pasti sudah biasa berkerja di mana-mana sahaja pada waktu yang fleksibel. MacBook Pro merupakan satu pakej yang lengkap di mana mempunyai rekaan yang cantik, ringan, mudah dibawa serta dilengkapi cip yang berkuasa tinggi.
Pengguna sudah tidak perlu bawa tetikus lagi kerana trackpad yang disediakan mampu beroperasi dengan cemerlang dan cukup tepat bagi penggunaan seharian. Ditambah juga dengan kebolehan mengawal tahap bunyi yang dihasilkan apabila ditekan serta terdapat fungsi force touch yang boleh mengarahkan suatu tindakan aplikasi menerusi tahap tekanan sentuhan sahaja.
Apabila laptop yang nipis ini dimasukkan cip pemprosesan yang berkuasa malah boleh menjalankan pelbagai perisian dengan lancar, sudah semestinya masalah panas akan timbul terutamanya pada model terdahulu. Kini MacBook Pro dilihat sudah menyelesaikan masalah panas tersebut bagi pengalaman penggunaan yang lebih baik.
2. Jangka hayat bateri yang panjang
MacBook Pro sangat terkenal dengan jangka hayat baterinya yang mampu bertahan dalam tempoh yang panjang. Malah, model terbaru MacBook Pro M1 kini telah berjaya melepasi ujian ketahanan bateri sehingga 20 jam lamanya. Dalam erti kata lain, pengguna mampu melakukan tugasan sepanjang hari dengan satu pengecasan penuh sahaja.
Pengguna juga tidak perlu membawa pengecas yang berat di dalam beg lagi. Akan tetapi, sekiranya bateri sudah berada di tahap yang kritikal, ianya bakal menelan kos yang tinggi berbanding jenama lain. Kitaran pengecasan bagi suatu bateri hanya dalam 750 kitaran sebelum perlu diganti dengan yang baru.
3. Skrin retina yang memukau
Skrin retina mula diperkenalkan pada MacBook Pro sejak 2012 lagi. Skrin ini mempunyai kelebihan tersendiri di mana mampu memaparkan visual dan warna dengan lebih terperinci dan tepat. Bukan hanya boleh meningkatkan hasil kualiti kerja anda sahaja, bahkan boleh menonton konten dengan pengalaman yang menyeronokkan.
Sekiranya anda sudah terbiasa dengan skrin retina untuk membuat kerja, pasti boleh lihat perbezaan yang ketara kualiti visual yang dihasilkan berbanding jenama lain.
Bagi model MacBook Pro tahun 2015 dan ke bawah terdapat isu satu lapisan anti-reflective yang akan tertanggal pada skrin dalam jangka masa panjang sementara model selepasnya sudah tidak kedengaran mengenai masalah tersebut.
4. Prestasi yang hebat
Pasti semua sudah biasa mendengar daripada pengguna Apple sendiri tentang prestasi perantinya yang terbukti jarang menghadapi masalah tersangkut sewaktu digunakan. Kebiasaanya semua aplikasi mahupun tugasan berat boleh dilancarkan serta-merta dan sangat responsif. Hal ini berkait dengan penggunaan memori SSD pada model tahun 2015 dan ke atas di mana ia ditawarkan dengan minimum 8GB RAM kepada pelanggan.
Untuk makluman, harga akan melonjak naik dengan drastik sekali apabila pilihan spesifikasi yang tinggi dengan kapasiti memori yang lebih besar. Ditambah pula sebahagian pengguna sanggup membelanjakan wang yang banyak kerana komponen dalaman tersebut tidak boleh dinaik taraf secara manual pada model-model yang terbaru.
5. Perisian yang mesra pengguna (MacOS)
Apple juga sangat menitik beratkan perisian yang ditawarkan kepada pengguna menerusi perantinya. MacOs telah direka khas untuk peranti Mac di mana perisian yang disertakan bakal menggunakan sepenuhnya kemampuan komponen perkakasan tersebut. Buat pengguna yang berkecimpung dalam pembangunan perisian, segala tugasan boleh dilakukan dengan mudah dan pantas menerusi MacBook Pro.
Lazimnya masalah virus jarang didapati menerusi Mac berbanding platform Windows. Aplikasi terminal yang sedia terbina juga memudahkan lagi para programmer. Sebahagian aplikasi di Windows juga sudah ditawarkan pada platform Mac yang boleh beroperasi dengan lebih lancar serta mempunyai sokongan pembangun daripada Apple.
6. Meningkatkan produktiviti seharian
Pelbagai fungsi menarik yang ditawarkan pada MacBook Pro dalam meningkatkan produktiviti harian pengguna. Antaranya adalah akses masuk MacBook Pro dengan menggunakan Apple Watch, iPhone Face ID dan Touch ID. Fungsi AirDrop turut memendekkan masa menghantar fail secara terus kepada peranti Apple lain tanpa perlu menggunakan kabel.
Dalam pada itu, pengguna juga boleh mengawal slide pembentangan di MacBook melalui Apple Watch atau iPhone secara wireless. Kemampuan screen cast di iPhone secara langsung ke Mac dapat memudahkan pengguna mendemonstrasi aplikasi kepada klien.
Seperti yang anda boleh lihat MacBook Pro telah dilengkapi dengan pelbagai fungsi yang boleh meningkatkan produktiviti seharian seseorang. Dengan mendapatkan laptop ini, pastinya ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi untuk jangka masa panjang terutamanya apabila semua fungsi tersebut digunakan sepenuhnya oleh pengguna.
Lihat perkongsian pengalaman sepanjang penggunaan Apple MacBook Pro M1 yang terbaru oleh pengguna tegar Windows.
Pengguna Windows Selama 28 Tahun Ini Kongsi Pengalaman Sepanjang Guna Apple Macbook Pro M1
Apple Perkenalkan Macbook Pro Cip M1 Dengan Ketahanan Bateri Sehingga 20 Jam