Percaya atau tidak, sebuah komputer riba dengan 6 virus paling berbahaya pernah dihasilkan kini dilelong. Komputer riba Samsung warna biru model NC10-14GB berukuran 10.2 inci tersebut kini diletakkan di sebuah bilik pameran berasingan bagi mengelakkan virus tersebar.
Virus pertama yang dikenalpasti menyerang pengguna sekitar awal tahun 2000-an dikenali sebagai ‘ILOVEYOU’ tersedia di dalam komputer riba tersebut.
Seterusnya virus ‘Sobig’ pula tular sekitar bulan Ogos 2003 melalui penghantaran email dan dinyahaktif secara sendiri pada bulan September tahun sama.
Penyebaran ‘Sobig’ buat kali ke-2 baharu sahaja berlaku tahun lepas dan pelakunya masih belum dikenalpasti sehingga kini. ‘Mydoom’, worm yang paling cepat tersebar setakat ini mula mengganggu pengguna pada tahun 2004, juga melalui sebaran email.
‘BlackEnergy’ pula pernah mencetuskan ralat besar-besaran di Ukraine pada tahun 2015 lalu. Virus ini mula menular sekitar tahun 2007 juga melalui email spam dan seterusnya mengakibatkan kerosakan pada komponen DLL dalam data komputer.
Selain itu, pengenalan ‘DarkTequila’ pada tahun 2013 di Amerika Latin digunakan untuk mengambil data bank, data korporat dan maklumat peribadi daripada komputer yang ‘dijangkiti’ virus melalui USB Drive.
Akhir sekali, virus yang paling terbaharu dan masih aktif di komputer riba tersebut ialah ‘WannaCry’ yang digunakan untuk mengganggu sistem matawang crypto di seluruh dunia. ‘WannaCry’ mula dilancarkan pada tahun 2017 yang lalu.
Setakat ini, keenam-enam virus ini telah menyebabkan kerugian sehingga $95 bilion (RM396.48 bilion).